Kerajaan negeri Perak akan pecat lebih ramai pegawai kanan GLC - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri Perak akan pecat lebih ramai pegawai kanan GLC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Kerajaan negeri Perak di bawah Pakatan Harapan (PH) akan memecat lebih ramai pegawai kanan di beberapa syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) yang dilantik di bawah pemerintahan kerajaan terdahulu.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya bagaimanapun tidak akan terburu-buru melakukan perkara tersebut berikutan pegawai kanan yang berkhidmat di GLC di negeri ini masih terikat dengan kontrak perkhidmatan mereka.

Jelasnya, sekiranya pemecatan itu dilakukan dengan segera, ia juga akan menyulitkan kewangan GLC berikutan kerajaan negeri perlu membayar pampasan kepada pegawai kanan yang terlibat.

“Seperti dalam manifesto PH, kita berjanji akan menyediakan unit audit kepada semua GLC dan ia akan dibentangkan kepada Dewan Undangan Negeri. Ketika itu, saya percaya semua akan mendapat maklumat mengenai perkara ini.

“Setakat ini, saya tiada jumlah sebenar (pegawai kanan yang akan dipecat). Kita perlu lakukan dengan penuh bijaksana kerana tujuan kita bukan untuk membuang orang namun, ia dijalankan untuk menyelamatkan syarikat milik rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan RM500,000 daripada Unisem (M) Berhad untuk Tabung Harapan Malaysia kepada kerajaan negeri Perak di Pejabat Menteri Besar di sini hari ini.

Akhbar Kosmo! Isnin lalu melaporkan, kerajaan negeri Perak telah memecat tujuh pegawai eksekutif GLC setelah didapati berbelanja melebihi yang sepatutnya.

Pemecatan tujuh pegawai eksekutif itu dilakukan susulan daripada peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkenaan.

Ahmad Faizal bagaimanapun tidak mendedahkan GLC yang terlibat dan pemecatan itu juga dilaksanakan untuk menjimatkan perbelanjaan kerajaan negeri sebanyak RM150,000 sebulan iaitu kira-kira RM1.6 juta setahun. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN