Terbuka Malaysia: Axelsen mula langkah kanan - Utusan Malaysia

Terbuka Malaysia: Axelsen mula langkah kanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan lelaki No.1 dunia dari Denmark, Viktor Axelsen mudah melepasi pusingan pertama kejohanan badminton Terbuka Malaysia apabila menang 21-17, 18-21, 21-13 ke atas wakil Thailand, Khosit Phetpradab di Arena Axiata, Bukit Jalil sebentar tadi.

Meskipun berjaya melangkah ke pusingan kedua, namun Axelsen yang juga juara dunia mengakui berdepan sedikit kesukaran pada set kedua yang menyaksikan dia tewas 18-21.

Bagaimanapun, dia menegaskan memang sudah menjadi kebiasaan berdepan kesukaran pada pusingan pertama kerana perlu menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang kejohanan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Aksi pusingan pertama memang sentiasa menjanjikan aksi sukar, lebih-lebih lagi pada kejohanan Terbuka Malaysia kerana pemain perlu memastikan mereka benar-benar menguasai kedua-dua belah gelanggang.

“Saya tewas pada set kedua tetapi ia bukan disebabkan kecederaan yang dialami sebelum ini. Saya cuma rasakan sedikit kejang pada bahagian kaki, namun itu perkara biasa,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Justeru, Axelsen dijangka bertemu seorang lagi pemain Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk pada pusingan kedua yang dijadualkan berlangsung esok.

“Mungkin saya akan berdepan Tanongsak di pusingan kedua dan saya akui ia akan menjadi satu lagi aksi sukar untuk saya, jadi saya perlu berada pada prestasi terbaik.

“Saya memiliki waktu rehat selama sehari esok (hari ini) dan saya harap ia mampu membantu saya untuk kembali cergas serta mencatatkan keputusan positif,” ujarnya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini