KOTA BHARU 26 Jun – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng diingatkan supaya tidak cuba bermain api yang akan membangkitkan kemarahan rakyat dengan sikap angkuh dan sombongnya memperlekehkan martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, tindak-tanduk Guan Eng kebelakangan ini jelas dilihat sebagai satu bentuk hasutan, provokasi serta boleh mengundang benci-membenci dalam kalangan rakyat sekali gus menggugat perpaduan kaum di negara ini.
“Pas memandang serius tindakan Menteri Kewangan menerbitkan kenyataan rasmi kerajaan dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Inggeris dan Cina. Ini tidak pernah berlaku dalam sejarah pentadbiran apabila seorang menteri menggunakan bahasa Cina, walaupun sebagai terjemahan.
“Pas juga melihat tindakan beliau yang sekali lagi menerbitkan kenyataan media terbaharu di Facebooknya menggunakan bahasa Cina sahaja bagi mempertahankan tindakan sebelum ini sebagai bersikap angkuh dan sombong.
“Lebih malang beliau dipercayai secara sengaja dan berhelah membuat suatu tafsiran salah dan ‘mengarut’ terhadap Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan apabila berkata, ‘atas semangat perlembagaan, apa salahnya mengeluarkan kenyataan media yang diterjemahkan ke dalam bahasa Cina dan bahasa lain?” Katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Takiyuddin, Pas tidak menafikan hak penggunaan bahasa Cina atau lain-lain bahasa di negara ini, namun penggunaan bahasa selain bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kerajaan merupakan satu kesilapan yang nyata.
“Sememangnya, penggunaan lain-lain bahasa dilindungi oleh Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, namun peruntukan Perkara 152(1)(a) secara jelas menyatakan bahawa ‘bahasa Melayu perlu digunakan dalam urusan rasmi kerajaan’,” katanya. – UTUSAN ONLINE










