Sepanyol mara ke pusingan kedua, Maghribi pulang dengan bangga - Utusan Malaysia

Sepanyol mara ke pusingan kedua, Maghribi pulang dengan bangga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALININGRAD, Rusia – Jaringan kontroversi Iago Aspas pada minit kecederaan babak kedua berjaya memastikan Sepanyol layak ke pusingan kedua Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2018 FIFA meskipun seri 2-2 dengan Maghribi pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Kaliningrad, Rusia sebentar tadi.

Juara edisi 2010 itu bernasib baik tidak mengalami kekalahan apabila ketinggalan 1-2 sepanjang 90 minit permainan sebelum pemain gantian, Aspas menolak masuk gol penyamaan pada masa kecederaan, sekali gus menyelamatkan maruah pasukannya.

Gol Aspas itu bagaimanapun mencetuskan kontroversi apabila pada awalnya pengadil tidak mengesahkannya kerana penyerang Celta Vigo itu dilihat dalam posisi ofsaid.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, gol itu kemudian disahkan selepas rakaman sistem Bantuan Video Pengadil (VAR) mendapati Aspas tidak berada dalam kedudukan ofsaid dan dikira sebagai gol kedua Sepanyol.

Keputusan itu menimbulkan kemarahan pasukan Maghribi yang mendakwa kemenangan mereka dirompak selepas beraksi dengan baik menentang pasukan No. 10 dunia itu meskipun telah tersingkir ketika turun pada pertemuan ini.

Sepanyol juga bernasib baik apabila Iran, pasukan tangga ketiga yang berpeluang memintas mereka, juga mencatat keputusan seri 1-1 dengan Portugal dan sekali gus gagal ke pusingan kalah mati itu setelah mengumpul empat mata.

Sementara skuad kendalian Fernando Hierro itu pula kekal menghuni tangga teratas terikat dengan lima mata Portugal namun memiliki kelebihan perbezaan jaringan gol.

Keputusan ini menyaksikan mereka bakal berdepan Rusia di pusingan 16 terbaik selepas tuan rumah itu menghuni tangga kedua Kumpulan A manakala Portugal yang berada di tangga kedua, dijadual bertemu Uruguay selaku juara kumpulan.

Skuad La Roja turun dalam aksi terakhir ini dengan misi mengelak daripada kekalahan bagi menjamin laluan ke pusingan kalah mati.

Namun, mereka dikejutkan terlebih dahulu dengan jaringan Khalid Boutaib pada minit ke-14 hasil serangan balas kilat, sekali gus meletakkan Maghribi mendahului 1-0 di depan.

Ini adalah gol pertama Maghribi yang dicetak sepanjang kempen di Rusia ini setelah mereka tewas dua perlawanan kepada Iran dan Portugal dengan jaringan 0-1.

Sepanyol bagaimanapun tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan selepas Isco Alacorn merembat masuk bola dari jarak dekat pada minit ke-19 hasil hantaran Andres Iniesta.

Skuad kendalian jurulatih sementara, Fernando Hierro itu berpeluang menambah gol menerusi percubaan Diego Costa dan Iniesta, namun berjaya diselamatkan penjaga gol lawan.

Maghribi, pasukan No.41 dunia, tampil lebih hebat pada babak kedua dan hampir mendahului menerusi rembatan jarak jauh Nordin Amrabat, namun bola terkena palang gol meskipun penjaga gol Sepanyol, David de Gea sudah pun tertewas.

Sepanyol kemudian kembali menguasai permainan dan melancarkan asakan bagi mencari gol kedua, namun usaha pasukan No. 10 dunia itu sukar untuk menembusi kesemua pemain Maghribi yang berkampung di depan pintu gol mereka.

Bagaimanapun pemain gantian, En-Nesyri muncul wira Maghribi apabila menanduk masuk gol yang dilihat bakal memberi kemenangan buat pasukannya pada minit ke-81 sebelum hadirnya gol Aspas yang meranapkan impian mereka mngutip iga mata pertama dalam kempen Piala Dunia.

Apa pun, Maghribi yang kali terakhir beraksi di Piala Dunia 22 tahun lalu, wajar pulang dengan perasaan bangga terhadap aksi yang ditonjolkan ketika menentang Sepanyol ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini