KUALA LUMPUR 25 Jun – Tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menggunakan bahasa Mandarin dalam kenyataan rasmi kementerian tersebut turut mengundang kritikan daripada pemimpin Pakatan Harapan sendiri.
Ketua Pemuda Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, berikutan isu berbangkit mengenai penggunaan bahasa kebangsaan sebagai medium untuk kenyataan rasmi kerajaan, harus berbalik kepada undang-undang yang telah diluluskan Parlimen Malaysia.
“Menurut Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan, bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi.
“Ini bermakna, ia telah pun dipersetujui bahasa Malaysia perlu digunapakai untuk setiap urusan rasmi kerajaan termasuklah kenyataan-kenyataan rasmi atas kapasiti kerajaan.
“Ia juga selari dengan Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahasa Melayu hendaklah dijadikan bahasa kebangsaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Syed Saddiq, beliau percaya keperluan untuk menyelaras penggunaan bahasa kebangsaan dalam semua urusan rasmi kerajaan ini penting untuk memastikan tidak ada kekeliruan daripada pihak awam berkenaan apa-apa perkara yang diterbitkan oleh pihak kerajaan.
“Kenyataan dalam bahasa kebangsaan akan dijadikan satu-satunya sumber rasmi oleh mana-mana pihak.
“Kenyataan rasmi kerajaan Malaysia juga akan diterjemah kepada bahasa Inggeris sebagai sumber rujukan media asing dan boleh diterjemah kepada bahasa ketiga jika ada keperluan untuk berbuat demikian,” katanya.
Tambah Ahli Parlimen Muar itu, beliau percaya tidak ada sebarang masalah untuk menterjemah mana-mana kenyataan rasmi kerajaan Malaysia.











