Baru-baru ini nama Stadium Mini Ffira Mikah di Kuala Nerang, Kedah menimbulkan kontroversi apabila dikaitkan dengan nama Pegawai Daerah Padang Terap, Hakim Ariff Md. Noor yang merasmikannya stadium berkenaan. Nama stadium itu dikatakan andai menurut turutan dari belakang Hakim Ariff menjadi Ffira Mikah
Hakim Ariff bagaimanapun menafikan dakwaan nama stadium itu adalah namanya dan mendakwa Ffira Mikah itu mempunyai maksud tersirat. Nama itu dipilih dan dicadangkan dalam mesyuarat pentadbiran.
Dalam bahasa Sepanyol atau Greek, ‘Ffira’ bermaksud sesuatu yang hebat manakala ‘Mikah’ dalam bahasa Arab sempena nama malaikat.
Kisah hangat penggunaan nama stadium berkenaan turut dikatakan dilakukan tanpa mengikut prosedur ditetapkan kerajaan negeri. Kini, nama stadium itu dikekalkan kembali kepada Stadium Mini Kuala Nerang.
Namun yang lebih menarik, kisah mengenai nama stadium itu turut mendapat perhatian sebuah portal akhbar dalam talian luar negara di United Kingdom (UK) iaitu The Independent.
Artikel berkenaan bertajuk, Malaysian official who renamed stadium denies title is his name backwards, insists it is ‘Spanish or Greek’ diterbitkan Khamis lalu, mula dikongsikan netizen di media sosial dan rata-ratanya meninggalkan komen yang mencuit hati.
APLIKASI ‘JODOHKAN’ DUA BERADIK PASANGAN SESUAI
PERCUBAAN seorang wanita untuk mencari padanan atau pasangan menerusi aplikasi dating tidak berjaya apabila dia dipadankan dengan abangnya sendiri.
Menerusi video di platform TikTok, ladyefron atau Brooke Averick, 24, menyatakan dia menggunakan aplikasi Hinge ketika menyambut Thanksgiving bersama ahli keluarganya di Haverford.
Namun tidak disangka, dia mendapat notifikasi daripada aplikasi tersebut yang menunjukkan ‘Pasangan Paling Serasi: Brooke dan Noah’, anda berdua perlu berjumpa antara satu sama lain’.
Brooke yang juga guru prasekolah itu kemudiannya berkata, dia bersetuju dan telah menghabiskan masa bersama-sama semasa sambutan Thanksgiving, lalu menunjukkan wajah Noah.

Namun kelakarnya, Noah adalah abangnya dan mereka berada di rumah sama.
Sehingga kini video yang dikongsi itu mendapat 2.5 juta tontonan, 509,500 tanda suka dan 2,754 komen.
Rata-rata netizen memberi reaksi pelbagai dan ada juga yang menganggap aplikasi dating itu gagal membuat padanan benar-benar serasi. Mungkin boleh cuba aplikasi lain? Mana tahu jumpa jodoh kan.
LUMPUH MUKA, FAYE KUSAIRI KONGSI RUTIN RAWATAN
MEMASUKI minggu kedua lumpuh pada sebelah muka atau Bell Palsy, pelakon Faye Kusairi yang sedang berpantang selepas bersalin anak kedua pada 13 Disember lalu, tetap positif berkongsikan rutin memulihkan gangguan saraf dihidapinya.
Faye atau Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi, 33, memberitahu, walaupun dia tidak menjalankan rawatan sepenuhnya, mukanya kini menunjukkan perubahan ketara.
Ujarnya, dia tidak pernah abai dalam pengambilan ubat oleh neurologist yang merawatnya di sebuah pusat perubatan di Setapak.
“Senaman pergerakan muka juga masih dilakukan setiap hari. Namun senaman menggunakan mesin fisio kadang-kadang tidak sempat. Maklumlah, baru bersalin,” tulisnya di ruangan Intagram miliknya.

Faye turut memberitahu, anak perempuan yang dilahirkan pada 12.29 tengah malam di sebuah pusat perubatan di Setapak, juga kurang sihat sekali gus memaksanya untuk skip rawatan bagi menumpukan perhatian kepada anak keduanya itu.
Berkongsikan rutin rawatan, Faye menjelaskan dia menuam pek ais atas muka, menggunakan mesin trigger facial muscles and nerve dibeli pada harga RM400, senaman muka dan menutur abjad A, E, I, O, U serta membuat rawatan totok wajah.
“Selain itu saya selalu mengunyah gula-gula getah dan paksa diri untuk makan menggunakan bahagian muka yang lumpuh. Ini langkah latih muka untuk buat memulihkan semula,” tulisnya.
Bell Palsy atau Idiopathic Facial Paralysis (IFP), terjadi disebabkan kerosakan fungsi pada saraf muka, namun sehingga kini tidak diketahui punca sebenar ia berlaku.










