Teruskan projek, jangan bermain politik - Utusan Malaysia

Teruskan projek, jangan bermain politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Jun – Keputusan pusingan U kerajaan untuk meneruskan beberapa projek mega yang diperkenalkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menunjukkan pemimpin Pakatan Harapan sedar mereka tidak boleh bermain politik sepanjang masa.

Walaupun bertentangan dengan pendirian politik Pakatan Harapan yang seolah-olah mahu membatalkan projek-projek tersebut kerana dicetuskan kerajaan terdahulu.

Namun pengumuman untuk meneruskan atau mengkaji semula pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) serta Tun Razak Exchange (TRX) menunjukkan kesedaran impak pembinaan projek berkenaan kepada ekonomi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagi penganalisis pasaran saham, Nazarry Rosli berkata, keputusan kerajaan Pakatan Harapan itu adalah sesuatu yang telah dijangkakan dengan mengambil kira kepentingan projek prasarana tersebut kepada rakyat dan pasaran saham.

Jelas beliau, pemimpin Pakatan Harapan mungkin mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri sebagai pemerintah di pe­ringkat nasional termasuk memahami kepentingan mengeluarkan kenyataan secara berhati-hati bagi memelihara kestabilan negara.

“Jika dahulu pembangkang mengkritik projek mega seperti pembinaan transit aliran ringan (LRT) dan Lebuh Raya Utara Selatan, tetapi kini kesemua infrastruktur itu amat penting kepada Malaysia.

“Memang kebiasaan mana-mana ahli politik akan bercakap apa-apa sahaja ketika berkempen, namun setelah menjadi kerajaan mereka kena profesional.

“Malah kerajaan baharu mungkin juga perlu memperbanyakkan pembinaan projek berimpak tinggi lain untuk kepentingan negara,” katanya yang juga bekas pe­ngarah di sebuah firma perunding saham kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sehingga semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ECRL akan diteruskan kerana tidak masuk akal untuk memansuhkan projek itu kerana bayaran RM20 bilion telah dilakukan serta bersetuju untuk menyiapkan projek TRX demi menangani kebimbangan pelabur-pelabur tem­patan dan antarabangsa yang melabur berbilion ringgit di TRX.

Pada masa sama, Guan Eng turut mengarahkan Peguam Negara, Tommy Thomas untuk mene­liti aspek perundangan perjanjian kontrak HSR bagi membolehkan kerajaan berbincang dengan Si­ngapura.

Sementara itu, Ketua Penganalisis Ekonomi Alliance Bank, M. Manokaran berkata, keputusan meneruskan ECRL secara tidak langsung mampu memperbaiki sentimen terhadap Bursa Malaysia yang menjunam teruk selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, beberapa pengumuman lagi termasuk pelantikan Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus sebagai wanita kedua yang menjadi Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) juga antara usaha ke arah menstabilkan pasaran tempatan.

“Sama ada beberapa pengumuman ini boleh menstabilkan pasaran tempatan atau tidak, negara masih perlu bergantung kepada isu-isu global seperti yang sering dialami oleh parti pemerintah sebelum ini,” katanya.

Tambahnya, perubahan harga minyak dunia dan perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dengan China menjadi antara faktor utama mempengaruhi ekonomi Malaysia buat masa ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini