Taktik PKNP ganggu fokus Tok Gajah - Utusan Malaysia

Taktik PKNP ganggu fokus Tok Gajah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 24 Jun – Rentak dan fokus pemain Tok Gajah terganggu dalam separuh akhir pertama Piala FA semalam ekoran taktik PKNP FC yang didakwa gemar melengahkan permainan.

Jurulatih Pahang, Dollah Salleh berkata, anak-anak buahnya tidak dapat mempamer permainan yang baik serta menjaringkan gol apabila perlawanan sering terhenti berikutan pemain lawan mengalami kecederaan.

“Saya rasa macam kita hanya bermain 25 minit sebab permainan sering terhenti dengan kece­deraan, perbuatan sedemikian mungkin betul atau mungkin taktik PKNP.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Apabila mereka melengahkan waktu kesannya corak permainan yang disusun oleh Pahang tidak menjadi.

“Ketika ketinggalan, kita bersungguh-sungguh untuk menjaringkan gol tetapi tiba-tiba ada sahaja pemain mereka yang jatuh tercedera, ini pastinya mengganggu fokus kami,” katanya kepada pemberita.

Dollah bagaimanapun percaya situasi itu dapat diatasi pada separuh akhir kedua pada 1 Julai nanti dengan percaturan baharu dan kemasukan tiga pemain utama yang tidak diturunkan akibat digantung perlawanan.

“Saya yakin kita boleh atasi PKNP FC dengan kemasukan tiga pemain utama iaitu Matthew Davies, Safuwan Baharudin dan Nor Azam Azih,” katanya.

Dalam aksi di Stadium Darul Makmur itu, tuan rumah dikejutkan dengan jaringan pasukan pelawat pada minit ke-13 menerusi Ahmad Sukri Ab. Hamid, sebelum Wan Zaharulnizam Wan Zakaria menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-23.

Sementara itu, pengendali Selangor, Nazliazmi Nasir enggan mendabik dada dan terlalu selesa meskipun Red Giants membawa bekalan besar 4-0 menjelang separuh akhir kedua menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam, Sabtu depan.

“Dalam bola sepak, banyak perkara tidak dijangka boleh berlaku. Kita tahu PKNS adalah pasukan yang baik dan mereka dibarisi pemain berkualiti.

“Jika dilihat, jurang permainan antara Selangor dan PKNS tidak begitu jauh dan saya jangka separuh akhir kedua nanti akan lebih se­ngit,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini