SELANGOR tampil dalam kelas tersendiri apabila membelasah ‘adik’, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) FC 4-0 dalam aksi pertama separuh akhir Piala FA di Stadium Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.
Penyerang berbisa skuad Gergasi Merah, Rufino Segovia sekali lagi menjadi instrumen penting buat kejayaan skuad kendalian Nazliazmi Mohd. Nasir selepas mencipta hatrik bertemu pasukan bimbingan Datuk K. Rajagobal tersebut.
Dalam aksi itu, Selangor terlebih dahulu dikerah bekerja keras untuk menghadirkan jaringan memandangkan pemain-pemain PKNS FC berjaya mematahkan setiap serangan skuad Gergasi Merah.
Saat yang ditunggu-tunggu peminat juara 33 kali Piala Malaysia itu akhirnya tiba apabila Rufino membuat kejutan dengan meledak dua gol dalam tempoh seminit bermula minit permainan ke-39 dan 40.
Bersambung babak kedua permainan, bintang dari Sepanyol itu nyata berada di puncak prestasi apabila mencipta hatrik selepas menjaringkan gol ketiga Selangor hasil hantaran daripada D. Kugan pada minit ke-56.
Kelibat Rufino jelas memberikan igauan kepada benteng pertahanan PKNS FC selepas hantaran bekas pemain SC Kitchee itu dari sebelah kiri telah tertampan ke gawang sendiri oleh pemain The Red Ants, Azmizi Azmi sekali gus menyaksikan gol keempat skuad Gergasi Merah hadir pada minit ke-64.
PKNS FC cuba bangkit untuk mengurangkan defisit jaringan tetapi keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan dan ia menyaksikan Selangor memiliki bekalan selesa untuk aksi timbal balik kedua separuh akhir Piala FA pada Sabtu ini.
Sebagai rekod, Rufino mencipta hatrik kedua musim ini dengan yang pertama hadir ketika bertemu Kelantan di venue sama dalam aksi Liga Super, 1 Jun lalu.










