Musa Aman pulang ke tanah air - Utusan Malaysia

Musa Aman pulang ke tanah air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU 21 Ogos – Selepas lebih tiga bulan ‘menghilang’, bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman akhirnya pulang ke tanah air hari ini dan difahamkan berada di sebuah hospital swasta di Subang Jaya, Selangor untuk meneruskan rawatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mustafar Ali dalam satu kenyataan berkata, pesawat yang membawa pemimpin itu tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dari Singapura pada pukul 6.45 petang.

“Pemeriksaan imigresen te­lah dilakukan terhadap beliau dan penumpang yang menaiki pesawat tersebut. Bagaimanapun, Musa tidak dapat hadir ke kaunter pemeriksaan imigresen atas sebab-sebab kesihatan.

“Imigresen telah memaklumkan pergerakan tersebut kepada Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya.

Kepulangan Musa menamatkan pemburuan pihak berkuasa terhadapnya selepas satu kertas siasatan dibuka di negeri ini susulan laporan polis yang mendakwa beliau mengugut Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Selain itu, Musa yang menang di kerusi Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Sungai Sibuga pada Mei lalu adalah satu-satunya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang belum mengangkat sumpah di DUN Sabah dan diberi tempoh sehingga 11 September untuk melakukannya.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan Musa akan pulang ke tanah air selepas me­nerima rawatan di Hospital The Clemen­tine Churchill, London.

Setiausaha Politiknya, Mohd. Joh Wid bagaimanapun berkata, beliau perlu menerima rawatan susulan di Hospital Mount Eliza­beth, Singapura yang menyimpan rekod perubatannya selama 30 tahun terlebih dahulu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN