Zuraida ucap tahniah atas permohonan maaf Abdullah Sani - Utusan Malaysia

Zuraida ucap tahniah atas permohonan maaf Abdullah Sani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Ogos – Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin menyambut baik permohonan maaf Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid susulan kenyataan berbaur fitnah yang mengaitkan Perdana Menteri baru-baru ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berharap agar Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR itu tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan sebarang dakwaan secara terbuka.

“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada beliau kerana membuat kenyataan memohon maaf. Saya harap perkara sedemikian tidak berulang lagi.

“Berhubung tindakan seterusnya pula akan ditentukan Jawatankuasa Disiplin PKR dan ini termasuk keperluan memohon maaf kepada calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan dakwaan Mohamed Azmin dan ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin berpakat untuk menghalang pelan peralihan kuasa yang telah dipersetujui Pakatan Harapan (PH).

Tuduhannya itu turut mengaitkan Dr. Mahathir juga turut campur tangan dalam rancangan untuk menghalang Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri kelapan.

Walau bagaimanapun, Dr. Mahathir menafikan dakwaan tersebut serta menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang kerjasama dengan Daim bagi menghalang Anwar.

Terdahulu, Zuraida hadir menyempurnakan kempen kibar Jalur Gemilang peringkat parlimennya serta mengedarkan 7,000 bendera sempena Hari Kebangsaan kepada premis perniagaan, agensi kerajaan serta orang ramai hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN