JAKARTA 21 Ogos – Kontinjen peserta-peserta Sukan Asia 2018 dilanda kebimbangan apabila cirit-birit melanda Perkampungan Atlet di Kemayoran di sini hari ini, termasuk kem Malaysia.
Perkara itu disahkan oleh ketua kontinjen Malaysia di Sukan Asia 2018, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi.
Katanya, masalah tersebut bukan sahaja dialami kontinjen negara tetapi beberapa atlet negara lain turut didapati mengalami masalah sama.
“Kejadian ini dimaklumkan dalam mesyuarat antara semua ketua kontinjen Sukan Asia 2018 pada malam tadi.
“Dalam kem negara, laporan yang saya terima menyatakan lapan atlet dan tujuh pegawai kita mengalami masalah tersebut.
“Salah seorang yang terlibat ialah atlet wusyu Loh Jack Chang manakala selebihnya saya tidak dapat dedahkan,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Tambah Abdul Azim, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada pihak penganjur untuk tindakan lanjut.
“Setakat ini kesemua lapan atlet negara berada dalam keadaan stabil tetapi masih lemah.
“Pihak penganjur juga sedang menjalankan siasatan untuk mengetahui punca perkara ini berlaku dan cuba menyelesaikannya,” kata Abdul Azim.
Sementara itu, ditanya berhubung situasi terkini kem negara berikutan masih menanti pingat emas pertama Malaysia dalam Sukan Asia 2018, Abdul Azim berkata, semuanya masih terkawal ketika ini.
“Banyak acara tumpuan atau sandaran pingat emas kita belum bermula.
“Kebanyakan acara awal yang berlangsung ketika ini bukanlah sandaran pingat emas buat negara dan kita perlu tunggu hingga acara sandaran negara bermula nanti,” katanya. – UTUSAN











