PALEMBANG 21 Ogos – Skuad boling lelaki negara yakin dapat menduduki podium dalam acara berpasukan Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 walaupun pihak penganjur menukar acara itu daripada pasukan lima pemain kepada enam pemain.
Ketua pasukan, Alex Liew berkata, semangat anggota pasukan adalah tinggi selepazs menjalani latihan intensif selama dua minggu di Coral Crown Bowl, Kuala Terengganu untuk meraih pingat di Jakabaring Bowling Center, di sini.
Tujuan menjalani latihan di pantai timur adalah untuk membantu pemain menyesuaikan diri dengan keadaan ‘oiling’ AMF yang digunakan di venue di Jakabaring berbanding Brunswick yang lebih kerap digunakan.
“Pasukan enam pemain adalah sasaran utama kita bagi skuad lelaki kerana penganjur telah mengurangkan separuh daripada acara kali ini. Kita menyasarkan untuk itu, tidak kira mana-mana pingat yang dimenangi,” kata Alex yang akan membuat penampilan kali keenam pada Sukan Asia.
“Tidak banyak berbeza ‘oiling’ yang digunakan semasa kita menjalani latihan di Terengganu dan di sini, hanya sedikit perubahan. Kami menjangka menghadapi saingan sengit daripada pasukan seperti Korea Selatan, Hong Kong dan Thailand, tetapi kami berharap dapat mengatasi mereka,” kata Alex ketika ditemui semasa sesi latihan pasukan negara, hari ini. – BERNAMA











