SETIAP umat Islam diciptakan oleh Allah SWT di atas muka bumi ini merupakan seorang khalifah yang dijadikan oleh Maha Pencipta dengan sebaik-baik kejadian. Sebagai seorang muslim, kita perlu mengetahui tentang rukun Islam sebagai perkara yang wajib dilakukan oleh kita. Sebagaimana kita sebagai rakyat Malaysia yang telah didedahkan dan diajar tentang rukun negara dari peringkat sekolah rendah lagi sehingga kita menghafalnya. Begitulah juga dengan rukun Islam, malah kita perlu lebih daripada itu sehingga kita benar-benar memahami, melaksanakan serta menyempurnakan setiap rukun itu semata-mata kerana Allah SWT.
Rukun Islam mempunyai lima perkara iaitu mengucap kalimah syahadah, menunaikan solat lima waktu sehari semalam, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadan dan mengerjakan haji bagi yang mampu. Kelima-lima ini perkara ini adalah berkaitan dengan setiap umat Islam dan perlu dilaksanakan serta disempurnakan dalam kehidupan seharian dengan keikhlasan yang mendalam. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:”Islam dibangunkan di atas lima perkara: Persaksian bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bersaksi (syahadah) Muhammad Rasulullah, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan haji dan puasa Ramadan.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Kaabah iaitu Baitullah diciptakan oleh Allah SWT sebagai tempat manusia untuk berhimpun bersama-sama dalam keadaan yang harmoni dan aman semata-mata untuk mengabdikan diri kepada Maha Pencipta. Berziarah ke Baitullah itu memberikan peluang kepada seseorang untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT dan menerbitkan rasa cinta yang lebih kepada-Nya.
Justeru, ibadah haji adalah satu ibadah yang wajib dilakukan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup oleh setiap umat Islam yang berkuasa dan berkemampuan. Allah SWT berfirman dalam kitab suci al-Quran yang bermaksud: “Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan unta yang kurus, yang datang dari segenap penjuru (dan ceruk rantau) yang jauh.”(Surah Al-Hajj : 27)
Setelah Baitullah iaitu Tanah Suci Mekah, tiada lagi tempat yang lebih mulia diciptakan oleh Allah SWT di atas muka bumi ini selain Kota Madinah yang juga dikenali sebagai Madinatul Rasul atau Kota Rasulullah SAW. Ini jelas membuktikan Baitullah yang juga dikenali sebagai tanah haram adalah tempat yang sangat Istimewa kepada umat Islam di atas dunia ini. Maksud tanah haram adalah tempat Baitullah itu sendiri yang dijaga oleh Allah SWT akan kesuciannya daripada dicemari oleh perkara-perkara maksiat atau larangan-larangan daripada penciptanya iaitu Allah SWT. Ini bertujuan untuk memberikan keselesaan dan ruang terbaik kepada hamba-hambanya dalam kesempatan yang diperoleh untuk menumpukan sepenuh perhatian dalam beribadah kepada-Nya tanpa sebarang gangguan.
Oleh itu, sekiranya seseorang telah memasuki Mekah, mereka seringkali diingatkan bahawa mereka telah tiba di suatu tempat yang suci sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT sendiri. Secara tidak langsung, mereka akan menjadi takut sekiranya tidak terpilih dalam golongan orang yang berkesempatan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Dengan itu, mereka akan sentiasa berdoa dan berusaha dengan sungguh-sungguh agar mampu untuk mencapai rahmat dan reda Allah SWT sewaktu menjejakkan kaki di Mekah Baitullah.
Dalam satu hadis, daripada Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda : “Barang siapa yang mengerjakan Ibadah Haji di Baitullah dan tidak melakukan persetubuhan serta tidak pula fasik (melakukan kemaksiatan), maka keluarlah ia daripada semua dosanya sebagaimana hari ia dilahirkan oleh ibunya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Di samping itu, jika dilihat kepada seseorang yang ingin menunaikan haji, mereka pasti akan menemui dan berjumpa dengan ahli keluarga, saudara mara, sahabat andai dan sebagainya. Tujuannya hanyalah untuk memohon maaf jika ada membuat kesilapan, mohon dihalalkan segala makan dan minum, jika ada hutang mohon dimaklumkan segera dan lain-lain urusan. Situasi ini sering berlaku apabila seseorang itu ingin pergi ke Baitullah Tanah Suci Mekah dan tidak akan berlaku apabila seseorang itu ingin ke tempat lain selain dari itu. Ini cukup jelas menceritakan tentang rahsia dan keistimewaan ibadah haji itu kepada setiap umat Islam.
Sehubungan itu, perbanyakkan berdoa kepada Allah SWT agar diberi kesempatan untuk bersama-sama menjadi tetamu Allah SWT setidak-tidaknya sekali seumur hidup kita. Sekiranya, kita telah mampu dan cukup dari segi tenaga dan wang ringgit, maka wajiblah bagi seseorang itu untuk bersegera merancang bagi menunaikan rukun Islam kelima ini. Janganlah sesekali bertangguh atau melewatkan sekiranya telah bersedia kerana mungkin kita akan menemui Allah SWT terlebih dahulu, walhal kita telah diberikan kesempatan tetapi tidak bersungguh-sungguh dalam melaksanakannya.
PENULIS ialah Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Unit Hal Ehwal Islam (UHEI), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Cawangan Johor.











