Kurangkan penggunaan garam - Utusan Malaysia

Kurangkan penggunaan garam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG, Bolehkah rempah ratus menggantikan penggunaan garam? Ia persoalan yang dianggap remeh dan pengguna di Malaysia seolah-olah sudah sampai ke tahap ketagih garam. Hal ini diburukkan lagi faktor gaya hidup dan kekurangan masa yang memaksa orang ramai kerap makan di luar berbanding memasak sendiri di rumah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Satu kajian Kementerian Kesihatan menunjukkan purata pengambilan garam adalah sebanyak 7.15 gram atau bersamaan 2.9 gram sehari. Kadar ini lebih tinggi berbanding saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 5.0 gram sehari.

Melihat kepada situasi ini, jika trend pengambilan garam yang tinggi tidak dikawal berkemungkinan peratus penghidap penyakit darah tinggi juga akan meningkat. Dianggarkan 5.8 juta orang penduduk Malaysia menghidap penyakit ini.

Rempah ratus yang banyak terdapat di negara kita sebenarnya boleh dijadikan alternatif kepada penggunaan garam mahupun perisa tiruan dalam masakan. Malah, rempah ratus di dapur rumah seperti cili, halia, buah pelaga, lada hitam dan kayu manis sudah cukup untuk menjadikan masakan lebih enak dan menyihatkan.

Pengusaha kedai makan dan restoran juga dinasihatkan mengikut piawaian penggunaan garam dan tidak menambahnya sesuka hati. Usahlah mengharapkan keuntungan berlipat kali ganda dan pada masa sama menganiaya pengguna.

Rempah ratus juga membuka peluang kepada golongan petani, usahawan dan pengusaha kedai makan menambah pendapatan dengan mengkomersialkan produk rempah ratus. Malah, nilai pengeluaran rempah ratus negara hanya sekitar RM209 juta sahaja setahun.

Rempah ratus seperti halia, kunyit, bunga kantan, lengkuas, limau nipis dan serai sangat diperlukan dalam masakan tempatan. Jika diteliti nilai pengeluarannya juga masih rendah sedangkan permintaannya amat tinggi. Produk rempah ratus ini juga boleh dikeringkan dan dijenamakan sebagai dried herbs untuk kegunaan tempatan mahupun dieksport ke luar negara.

SUHANA MOHAMED,

Pensyarah Kanan Kewangan, Fakulti Pengurusan Dan Perniagaan,

UiTM Kampus Pasir Gudang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN