Pemain industri perlu perkukuh hala tuju - Utusan Malaysia

Pemain industri perlu perkukuh hala tuju

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Ogos – Para pemain industri diminta su­paya memper­kukuhkan hala tuju dan membuat persediaan bagi menghadapi pasaran yang dinamik pada masa hadapan terutama impak daripada perang dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Memuatkan artikel berkaitan…

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, ini kerana keba­nyakan pemain industri berada dalam kitaran perniagaan dan margin pula bersandarkan kepada kuasa pasaran.

Katanya, dengan menjangkakan pertumbuhan ekonomi di Asia Pasifik, persaingan dijangka lebih sengit memandangkan ma­sing-masing berusaha mening­katkan pertumbuhan dalam ki­mia khusus secara agresif berban­ding komoditi bahan kimia.

“Dalam konteks ini, Asia Pasifik sentiasa menjadi pasaran uta­ma. Sebagai contoh, syal AS yang disokong oleh pengemba­ngan pro­jek petrokimia termasuk India, China dan Asia Barat akan meningkatkan bekalan olefin dan derivatif ke rantau ini.

“Sehubungan itu, kapasiti etilena dijangka berkembang se­kitar tujuh juta tan setahun (mtpa) sekali gus memberi tekanan pada unjuran margin. Kami menjangkakan har­ga etilina akan me­nurun daripada AS$550 (RM2,253) satu tan metrik pada 2019 kepada AS$350 (RM1,433) satu tan metrik menjelang 2025,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada perasmian Persidangan Industri Petrokimia Asia (APIC) 2018 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr. Ong Kian Ming dan Presiden Persatuan Petrokimia Malaysia (MPA), Akbar Md. Thayoob.

Menurut Wan Zulkiflee, dalam sektor minyak dan gas, dasar-dasar berkaitan tenaga dipacu oleh inisiatif global untuk me­ngurangkan pelepasan karbon dan kebiasaannya dalam industri petrokimia, perlindungan alam sekitar akan menjadi satu daripada pertimbangan pengguna dan pembuat dasar.

Katanya, adalah penting bagi in­dustri untuk bekerjasama secara holistik terutama dari segi penyelidikan dan pembangunan bagi produk mesra alam sekitar yang bernilai tinggi, teknologi pengeluaran yang terkini dan keupayaan membangunkan bakat-bakat baharu bagi memenuhi keperluan pengguna.

“Untuk itu, kami terbuka kepada sebarang kerjasama yang mampu memenuhi aspirasi ini. Apatah lagi dengan beroperasinya Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) pada 2019 dan Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID), kami akan meningkatkan penglibatan dalam penghasilan produk yang lebih inovatif dan khusus,” katanya.

Ditanya mengenai kedudukan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai penasihat Petronas yang akan ditamatkan kontrak, beliau enggan mengulas lanjut sebalik­nya menyifatkan ia sebagai keputusan Jabatan Perdana Menteri.

Sementara itu, dalam majlis sama, Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) turut melancarkan 10 jenama baharu bagi produk isononanol, polimer dan syal sedia ada dan akan datang bagi memperkukuhkan kedudukannya dalam pasaran serantau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN