KUALA LUMPUR 21 Ogos – Saham Gabungan AQRS Bhd. dan HSS Engineers Bhd. menjunam selepas sesi dagangan ditutup petang ini susulan pengumuman kerajaan membatalkan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).
Pada 5 petang, saham Gabungan AQRS jatuh 14 sen kepada RM1.23 menurun 10.22 peratus daripada penutupan hari semalamnya pada RM1.37. Pasaran modal syarikat itu bernilai RM608.35 juta.
HSS Engineers turut mengalami nasib serupa apabila sahamnya merosot 18 sen kepada RM0.945, jatuh 16.37 peratus berbanding penutupan RM1.13 pada Isnin. Ia mempunyai pasaran modal RM495.86 juta.
Dalam pada itu, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) bagaimanapun ditutup kukuh pada 1,798.11 mata, meningkat 10.53 mata dengan sebanyak 378 kaunter untung, 549 rugi dan 396 lagi tidak berubah.
Terdahulu, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika sesi lawatan rasmi beliau ke China mengumumkan projek ECRL dan Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP) bernilai berbilion ringgit, dibatalkan.
Menurut Perdana menteri, Presiden China Xi Jinping serta Perdana Menteri Li Keqiang memahami sebab-sebab pembatalan dua projek yang disokong kerajaan China tersebut.
“Saya telah menjelaskan kepada mereka, dan mereka memahami kedudukan dan menerimanya,” jelas Dr Mahathir.
Ditanya mengenai pampasan yang perlu dibayar ekoran pembatalan projek-projek berkenaan, beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan kemudian.
ECRL merupakan projek bernilai RM81 bilion sejauh 688 kilometer (km) yang menghubungkan Pelabuhan Klang dan Kota Bharu, Kelantan, dilancarkan pada tahun lepas dan dijadual siap pada 2024.
Sementara itu, TSGP pula meliputi pemasangan saluran paip gas sepanjang 662 km dari Kimanis ke Sandakan dan Tawau, melibatkan kos berjumlah RM4 bilion.
Pelaksanaan kedua-dua projek berkenaan digantung sejak Julai lepas.











