KUALA LUMPUR 21 Ogos – Seorang wanita dan dua lelaki cedera parah dalam kemalangan di Bukit Ampang, Jalan Hulu Langat semasa menuruni bukit menghala ke Kajang.
![]() |
|
TIGA kenderaan terlibat dalam kemalangan di Bukit Ampang, Jalan Hulu Langat, Kajang, Selangor, semalam.
|
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan tersebut pada pukul 9.01 pagi.
Menurutnya, kemalangan itu melibatkan dua buah kereta jenis Perodua Kancil dan Proton Wira Aeroback serta motosikal Honda EX5.
“Setibanya di lokasi kami mendapati seorang wanita berusia 30-an cedera parah akibat tersepit di tempat duduk pemandu kereta Perodua Kancil.
“Turut cedera parah dalam kemalangan itu adalah dua lelaki iaitu pemandu kereta Proton Wira Aeroback dan penunggang motosikal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff memberitahu, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta yang menuruni bukit berselekoh dari arah Ampang ke Hulu Langat hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.
Menurutnya, kereta tersebut kemudian bertembung dengan sebuah lagi kereta dari arah bertentangan dan pada masa yang sama sebuah motosikal datang dari belakang melanggar kereta tersebut kerana tidak sempat mengelak.
“Kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan manakala kenderaan yang terlibat telah dibawa ke balai untuk tindakan lanjut,” ujarnya.












