KUALA LUMPUR 21 Ogos – Pembinaan projek Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) yang merangkumi Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) dan beberapa fasiliti sokongan lain, kini telah mencapai kemajuan 93 peratus setakat Julai 2018.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (Hiliran) Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Datuk Md. Arif Mahmood berkata, ketika ini mereka dalam proses untuk menerima kemasukan minyak mentah yang dijangka pada suku keempat tahun ini.
Katanya, dengan kemasukan itu, ia menjadikan kompleks bersedia untuk beroperasi pada awal 2019.
“Setakat ini, semuanya berjalan lancar dan projek ini dapat disiapkan mengikut jadual. Malah, kos bagi projek ini juga adalah di bawah peruntukan yang ditetapkan,” katanya dalam sesi forum eksekutif sempena Persidangan Industri Petrokimia Asia (APIC) 2018 di sini hari ini.
Persidangan tersebut yang bermula semalam dirasmikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr. Ong Kian Ming.
Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, Presiden Persatuan Petrokimia Malaysia (MPA), Akbar Md. Thayoob dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemicals Group Berhad (PCG), Datuk Sazali Hamzah.
APIC 2018 diadakan selama dua hari mulai 20 hingga 21 Ogos menghimpunkan hampir 2,000 peserta dan 47 pempamer yang menjadi platform kepada pemain industri, pembuat dasar, profesional teknikal dan peneraju perniagaan untuk mendapatkan perkembangan terkini industri petrokimia.
Apabila siap projek berkenaan, PIC akan menjadi satu-satunya loji perekah wap dan penapisan bersepadu di Malaysia dan dijangka berada pada kedudukan keempat fasiliti terbesar di Asia Tenggara.
Reuters awal bulan ini melaporkan Saudi Aramco dan Petronas mengadakan pertemuan dengan bank bagi menggantikan pinjaman jangka pendek AS$8 bilion (RM32.78 bilion) yang dijana awal tahun ini dengan pembiayaan jangka panjang pada anggaran jumlah yang sama,
Mengulas mengenai perkara tersebut, Md. Arif berkata, kewangan tidak sepatutnya menjadi isu memandangkan projek RAPID berada di peringkat akhir untuk beroperasi.
Sementara itu, Akbar dalam ucapannya berkata, Malaysia dijangka menambah kapasiti menjelang 2020 dipacu oleh bahan kimia asas dan derivatif yang disumbangkan menerusi projek RAPID.
“Ia akan meningkatkan pengeluaran daripada 16.3 juta tan metrik setahun kepada 23.1 juta tan metrik setahun. Segmen bahan kimia yang akan memacu pertumbuhan ialah olefin, polimer dan glikol. Malah, kapasiti penggunaan dijangka meningkat kepada 98 peratus menjelang 2020 berbanding 95.7 peratus pada 2016,” katanya.











