LUMUT – Satu mayat rentung dipercayai mangsa bunuh ditemui orang awam di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Baru, Sitiawan dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, mayat dengan kesan terbakar hampir di keseluruhan badan itu dijumpai pemilik kebun tersebut pada pukul 9 pagi.
“Keadaan mayat yang rentung antara 85 hingga 90 peratus menyukarkan pihak polis mengenal pasti jantina serta identitinya.
“Setakat ini jantina dan identiti mangsa masih belum dikenal pasti. Tiada barang dan dokumen identiti ditemui di lokasi kejadian untuk dikaitkan dengan penemuan mayat mangsa,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Tambah Muhammad Hanif, siasatan lanjut akan dijalankan termasuk menyemak rekod laporan membabitkan orang hilang.
“Polis bagaimanapun tidak menolak kemungkinan mayat terbabit merupakan mangsa bunuh.
“Siasatan akan dijalankan bagi mengetahui sama ada mangsa dibunuh di tempat lain terlebih dahulu sebelum dibuang di lokasi mayatnya dijumpai,” katanya.
Sementara itu, pemilik kebun Wong Keng Suew, 48, berkata, dia segera menghubungi polis setelah mendapati terdapat mayat rentung dalam kebun kelapa sawitnya.
“Saya sangat terkejut dan takut. Saya lihat mayat itu sudah terbakar dan ada sedikit asap pada bahagian kepalanya,” katanya. – K! ONLINE











