KUALA LUMPUR 21 Ogos – Bintang Akademi Fantasia musim keempat (AF4), Farhan Azizan, 34, memanjatkan rasa syukur ke hadrat Ilahi selepas proses melahirkan anak perempuan keduanya dipermudahkan walaupun dilahirkan secara pembedahan.
Dilahirkan pada pukul 5.40 petang semalam di Hospital Putrajaya, Farhan serta bayi seberat 2.7 kilogram itu kini berada dalam keadaan stabil namun masih belum dibenarkan keluar.
“Pengalaman melahirkan anak sulung dan kedua sangat berbeza. Kalau dulu sewaktu hamil anak pertama, saya mahu bersalin secara normal tetapi terpaksa dibedah selepas segala kaedah untuk mempercepatkan bukaan gagal.
“Untuk kehamilan kedua ini, saya ada kencing manis dan mengambil insulin. Kemudian, doktor pakar sudah memaklumkan awal bahawa saya akan ditahan sehari di wad untuk pemantauan.
“Saya langsung tak alami kontraksi dan kebetulan tiga hari lalu memang sudah tiba waktu bersalin tetapi bukaan masih lagi tidak berlaku.
“Jadi, doktor buat keputusan untuk lakukan pembedahan dan Alhamdulillah segala proses dah selesai,” katanya.
Farhan atau Nur Farhan Azizan mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Ahmad Rashadan pada 2014 dan telah dikurniakan anak perempuan diberi nama Souffea Zulaeqha yang kini berusia setahun enam bulan.- UTUSAN ONLINE











