KOTA BHARU 21 Ogos – Umat Islam diingatkan agar tidak melayan sebarang tuntutan songsang yang melawan norma kemanusiaan di negara ini.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, mutakhir ini banyak suara yang cuba menyebarkan fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam.
“Oleh itu, umat Islam hendaklah melaksanakan pengorbanan demi Islam yang tercinta. Ini kerana, apabila ajaran Islam dan usaha dakwah tidak diambil berat, maka berlaku kecelaruan dalam masyarakat kita.
“Sewajarnya kita sebagai umat Islam berusaha untuk memartabatkan Islam bermula daripada diri sendiri, keluarga dan masyarakat seterusnya negara yang kita cintai ini,” katanya dalam Perutusan Sambutan Perayaan Aidiladha di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Timbalan Mursyidul Am Pas menegaskan, pihaknya sentiasa komited memastikan Islam dapat didaulatkan di negeri ini kerana dasar membangun bersama Islam sudah lama berpaksi.
“Segala usaha dakwah dan pelaksanaan undang-undang Syariah hendaklah disokong dan didokong sepenuhnya tanpa sebarang kompromi.
“Oleh itu, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam. Maaf zahir dan batin daripada seluruh kepemimpinan kerajaan negeri.
“Semoga Allah menerima segala amalan kita dan mengampuni seluruh dosa kita pada 9 Zulhijjah hari ini,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











