ALOR SETAR 21 Ogos – Seorang penoreh getah berusia 19 tahun ditahan ketika membawa 130 kilogram (kg) daun ketum dipercayai cuba diseludup ke Thailand dalam Ops Tapis di sebuah kebun getah di Naka dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden Noh Idris berkata, lelaki yang berketurunan Siam itu ditahan ketika memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Suzuki Vitara dalam keadaan mencurigakan di kawasan tersebut kira-kira pukul 11.15 malam.
Katanya, pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut menemukan 13 plastik hitam yang mengandungi daun ketum.
“Kesemua daun ketum yang dirampas seberat 130 kg dengan nilai dianggarkan hampir RM4,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati suspek bekerja dengan seorang lelaki juga berketurunan Siam sebagai pemunggah dan penghantar daun ketum ke tempat pengumpulan di satu kawasan kebun getah di Naka.
“Suspek yang berasal dari Kampung Chong, Sik dekat sini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya. – UTUSAN ONLINE











