PUTRAJAYA 21 Ogos – Projek kereta nasional ketiga perlu meneroka ke arah kenderaan-kenderaan yang menjimatkan tenaga sebagai teras pelaburannya.
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A. Xavier Jayakumar berkata, bekalan bahan api fosil mungkin akan bertahan dalam tempoh 25 tahun, sehubungan itu, langkah seterusnya adalah untuk memilih teknologi kenderaan elektrik (EV).
“Kita sepatutnya mengusahakan masa depan yang lebih baik untuk negara. Hakikatnya tetap sama bahawa bahan api fosil mungkin akan bertahan selama 25 tahun atau kurang dan kita perlu berubah tidak lama lagi dalam usaha untuk beralih kepada bentuk tenaga yang lebih lestari.
“Cara ke hadapan adalah, sudah tentulah dengan opsyen EV. Baru-baru ini dilaporkan bahawa dua syarikat China mahu melabur hingga RM41 bilion untuk memulakan projek itu untuk lima tahun pertama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini membayangkan Malaysia bakal memiliki satu lagi projek kereta nasional setelah pemilikan Proton kini sebahagiannya telah dijual kepada syarikat China, Geely.
Perdana Menteri berkata, kemungkinan juga projek itu akan turut membabitkan rakan-rakan negara ASEAN yang lain. – UTUSAN ONLINE











