Geng Kenot curi motosikal dan kereta lumpuh dalam Ops Lejang IPD Klang Selatan - Utusan Malaysia

Geng Kenot curi motosikal dan kereta lumpuh dalam Ops Lejang IPD Klang Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Seorang bekas pemain bola sepak Selangor yang juga Ketua Geng Kenot berjaya ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kereta dan motosikal sekitar daerah ini sejak tiga bulan lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan bersama lima lagi ahli kumpulan terbabit dalam satu operasi Ops Lejang Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan yang dilancarkan sejak 4 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, penangkapan enam ahli Geng Kenot itu bermula pada 6 Ogos lalu apabila pasukan khas Ops Lejang berjaya menahan salah seorang ahli kumpulan terbabit ketika menaiki sebuah motosikal di Jalan Sungai Udang di sini kira-kira pukul 6 petang.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas motosikal yang dinaiki suspek mendapati kenderaan tersebut dilaporkan hilang di sekitar kawasan Pelabuhan Klang pada hari sama dia ditahan.

“Susulan penahanan lelaki terbabit, kita kemudiannya membuat beberapa lagi serbuan sekitar Klang selama 10 hari (antara 6 Ogos hingga 16 Ogos lalu) dan berjaya menahan lima lagi ahli kumpulan terbabit termasuk ketua mereka yang dikenali sebagai Kenot.

“Selain itu, kita turut menemui semula 11 motosikal yang dilaporkan hilang, empat rangka motosikal yang telah dileraikan dan tiga buah kereta,”katanya pada sidang akhbar di IPD Klang Selatan di sini hari ini.

Shamsul Amar berkata, hasil pemeriksaan lanjut pihaknya mendapati Kenot iaitu bekas pemain bola sepak Selangor mempunyai 18 rekod lampau berkaitan curi kenderaan, dadah serta memiliki senjata api palsu.

“Dengan penahanan enam ahli kumpulan ini, kita dapat menyelesaikan kira-kira 18 kes curi kenderaan sekitar daerah ini serta tiga kes melibatkan samun menggunakan senjata tajam dan pistol tiruan membabitkan tiga premis perniagaan.

“Pada masa sama, kita turut mengesan tiga lagi ahli kumpulan ini yang masih bebas. Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan (KK) kerana mencuri kenderaan, Seksyen 395/397 KK kerana samun berkumpulan menggunakan senjata serta Seksyen 394 KK kerana samun,”katanya. 

Dalam pada itu, Shamsul Amar memberitahu, dalam operasi Ops Lejang itu juga pihaknya turut menumpaskan dua lagi kumpulan curi motosikal iaitu Geng Comel dan Geng Rajan.

“Dua ahli kumpulan Geng Comel ditahan pada 9 Ogos lalu, manakala dua lagi ahli kumpulan Geng Rajan ditahan pada 7 Ogos lalu,”jelas beliau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN