KUALA LUMPUR 21 Ogos – Sepanjang setahun berehat daripada menerima sebarang tawaran lakonan, Fathia Latiff akui mempunyai waktu yang banyak untuk diri sendiri.
Menurut pelakon Ariana Rose itu, sebelum ini kesibukan kerja membataskan dirinya untuk meluangkan masa bersama keluarga dan teman rapat.
“Saya masih lagi menerima tawaran lakonan tetapi terpaksa ditolak dengan alasan saya nak berehat panjang. Boleh dikatakan selama setahun ini baru saya dapat nikmati maksud ‘berehat’ untuk diri sendiri.
“Dulu sibuk di set penggambaran sampaikan nak manjakan diri pun tak ada masa. Jadi saya gunakan masa selama setahun ini untuk lepak bersama kawan-kawan dan bercuti bersama keluarga.
“Saya bahagia dengan kehidupan sekarang. Fikiran pun tak banyak masalah,” katanya ringkas. – UTUSAN ONLINE











