KUALA LUMPUR 21 Ogos – Sambutan ulang tahun perkahwinan ke-12 Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa yang jatuh pada hari ini menjadi sangat indah dengan kehadiran cahaya mata sulung mereka yang pertama, Siti Aafiyah.
Menurut Siti Nurhaliza, tiada hadiah yang lebih bermakna berbanding Aafiyah, 5 bulan, selepas menunggu kehadiran zuriat lebih 11 tahun lalu.
“Kehadiran Siti Aafiyah adalah kurniaan Allah kepada kami berdua yang sangat istimewa dan bermakna. Ini hadiah terindah untuk ulang tahun perkahwinan kami yang ke-12.
“Kebetulan pula, ia jatuh sehari sebelum umat Islam meraikan Aidiladha, jadi mood ulang tahun ini sama dengan mood menyambut hari raya. Ini juga adalah sambutan raya qurban pertama bersama Aafiyah,” katanya.
Mengimbas sambutan Aidiladha tahun lalu, Siti tidak dapat meraikannya kerana hamil.
“Tahun lepas, suami saya mengerjakan haji bersama ibunya dan saya tidak dapat ikut kerana dalam peringkat awal kehamilan. Kenangan itu saya tidak boleh lupakan sampai bila-bila.
“Saya ucapkan terima kasih kepada seluruh peminat yang sentiasa mendoakan kami sekeluarga dan setia menyokong kerjaya saya selama ini dalam suka dan duka. Saya juga mendoakan agar kehidupan anda semua diberkati dan dikurniakan kegembiraan yang berkekalan bersama keluarga,” kata Siti Nurhaliza ringkas. – UTUSAN ONLINE











