Nostalgia Baitullah - Utusan Malaysia

Nostalgia Baitullah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANISNYA pengalaman mengerjakan ibadah haji tidak penah lekang daripada ingatan sebilangan artis meskipun sudah bertahun-tahun dilalui.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bersesak-sesak dengan lautan manusia dari pelbagai negara, berdepan cuaca panas yang kering, berhimpun di dalam khemah beramai-ramai pastinya menuntut kesabaran luar biasa.

Ironinya, setiap keperitan yang dilalui itu tidak memadamkan kenikmatan mengerjakan rukun Islam kelima.

Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Aznil Nawawi dan Nabil Ahmad berkongsi cerita dan pengalaman yang sukar dilupakan ketika berada di Baitullah tidak lama dahulu.

Siti Nurhaliza ‘hilang’ emak di Mekah

PENYANYI tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza seperti juga sebilangan jemaah lain yang turut melalui pengalaman mencemaskan ketika mengerjakan rukun Islam setahun selepas beliau mendirikan rumah tangga dengan Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa (DK). 

Pada 2007, bersama-sama suaminya, Siti Nurhaliza berangkat mengerjakan haji. Penghibur itu turut membawa ibunya, Siti Salmah Bachik dan abangnya, Saiful Bahari (Ayie) menunaikan ibadah tersebut.

Sekalipun sudah 10 tahun berlalu, namun Siti Nurhaliza masih belum dapat melupakan bagaimana cemas dan risaunya ‘kehilangan’ ibu tercinta yang terpisah dalam celahan jutaan manusia.

“Perkara itu berlaku pada hari Jumaat apabila rombongan kami membuat ziarah di luar kota Mekah. Sekembalinya, kami di Mekah, jemaah sudah memenuhi dataran untuk menunggu solat Jumaat. Justeru, kami terpaksa berjalan pantas di celah-celah orang ramai untuk ke masjid. Waktu melalui jemaah, kami ‘terputus’ dengan emak. Saya sangkakan Abang Ayie dengan emak kerana saya berjalan dengan DK.

“Rupa-rupanya Abang Ayie pun ‘terputus’ dengan emak. Bayangkan ada jutaan manusia ketika itu dan kami hilang emak. Saya suruh DK dan Abang Ayie cari sehingga jumpa dan menangis meminta DK memanjat tembok yang ada agar dapat melihat emak di celah-celah orang ramai.

“Ketika itu, kami memang sangat panik mengenangkan emak seorang diri. Saya menangis dan risau. Kami balik ke hotel dan buat laporan ke Tabung Haji sambil menunggu dan tak putus-putus berdoa.

“Hampir separuh hari juga emak ‘hilang’. Dia ditemui semula selepas berjumpa dengan jemaah Malaysia yang lain. Rupa-rupanya ada kisah di sebalik kehilangan emak. Sebelum kami keluar ziarah, emak terlupa memakai tag nama yang wajib dipakai oleh semua jemaah haji Malaysia.

“Tapi dalam kepala emak terlintas berkata, ‘janganlah sesat pula nanti’. Akhirnya yang terlintas itulah yang terjadi. Jadi sewaktu di Mekah, janganlah terfikir perkara tak baik sebab yang tak baik itulah yang akan jadi,” kata Siti Nurhaliza mengimbas kenangan itu.

Satu lagi pengalaman yang agak terkesan buat penyanyi lagu Cindai dan Jerat Percintaan ini ialah ketika menjelang hari wukuf apabila beliau tiba-tiba datang bulan.

“Sepatutnya saya tidak datang bulan pada tarikh tersebut sebab sudah membuat persediaan awal dengan mengambil suntikan bagi mengelakkannya terjadi.

“Saya cukup runsing sebab sudah hampir menjelang hari wukuf. Kemudian saya mendapatkan nasihat ustaz dan ustazah Tabung Haji dan mereka meminta saya berzikir tanpa henti dan berdoa agar dipermudah segala-galanya.

“Alhamdulillah, diri saya bersih sebelum hari wukuf dan dapat menunaikan haji dengan sempurna. Syukur, walaupun ada jutaan manusia, urusan ibadah sepanjang berada di sana dipermudah.

“Mengerjakan haji ini seumpama kita berjuang di jalan Allah kerana meninggalkan keluarga, sanak saudara dan harta benda demi menunaikan ibadah,” kata Siti Nurhaliza lagi.

Jalan kaki dari Mina ke Mekah

Meskipun sudah 10 tahun berlalu, kenangan indah mengerjakan ibadah haji tetap segar dalam ingatan pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi.

Mengimbau detik penuh bermakna itu, Aznil atau Pak Nil tidak putus-putus mengucapkan syukur kerana diberikan rezeki mengerjakan haji pada musim sejuk.

Dengan cuaca dingin itu, Pak Nil yang berada di sana selama 20 hari menjelaskan, dia dapat beribadah dalam keadaan selesa dan nyaman tanpa sebarang masalah kesihatan.

Bagaimanapun Pak Nil tidak terlepas daripada diduga. Menurut pengacara yang mula popular menerusi program Pop Kuiz sekitar 1992 itu, penularan penyakit Influenza A atau H1N1 adalah cabaran terbesar bagi semua jemaah ketika itu.

“Saya mendapat rezeki menunaikan haji pada Disember 2008. Ketika itu musim sejuk jadi dari segi cuaca, saya tidak diuji sangat berbanding cuaca sekarang yang boleh mencecah 50 darjah celsius.

“Dalam cuaca yang nyaman itu, sangat seronok dapat menjalankan ibadah haji dengan keadaan yang selesa selain kesihatan yang baik membuatkan saya lebih bersyukur. Pun begitu, saya dan jemaah lain juga tidak terlepas daripada berdepan cabaran.

“Ketika itu, penyakit H1N1 sedang menular di sana dan semua jemaah dinasihatkan agar tidak banyak terdedah dengan aktiviti luar.

“Justeru, kami hanya berada di dalam masjid atau hotel sahaja. Pihak berkuasa tidak menggalakkan aktiviti seperti bersiar-siar atau membeli-belah kerana diminta mengehadkan kegiatan luar. Saya bersyukur dalam pada kami berdepan cabaran tersebut, saya berjaya mengerjakan semua ibadah tanpa sebarang masalah,” jelas Pak Nil.

Masih bercerita tentang ujian, Pak Nil turut berkongsi kisah dia bersama-sama ribuan jemaah lain terpaksa berjalan kaki kira-kira lapan kilometer dari Mina ke Mekah.

Menurut Pak Nil, peristiwa tersebut berlaku disebabkan oleh kesesakan lalu lintas di Mina sewaktu hampir tiga juta orang jemaah haji sedang mengerjakan ibadah melontar.

“Bas tidak dapat masuk untuk mengambil kami semua kerana berlaku kesesakan lalu lintas yang sangat teruk. Justeru, selepas melontar, kami terpaksa berjalan kaki dari Mina ke Mekah.

“Ketika berjalan, terlintas dalam fikiran saya bahawa yang sedang kami lalui itu merupakan salah satu ujian daripada Allah. Itu adalah pengalaman luar biasa untuk saya.

“Sepanjang berjalan itu juga, saya terbayangkan kesukaran yang dihadapi jemaah yang tidak sihat atau berkerusi roda. Pastinya ujian tersebut lebih sukar buat mereka.

“Selepas melalui ujian itu, saya sentiasa menasihati bakal jemaah haji agar rajin melakukan latihan fizikal seperti berjalan di taman atau berlari anak supaya di sana nanti mereka mampu dan larat untuk mengerjakan ibadah sai, tawaf dan melontar,” jelasnya.

Tragedi rempuhan jadi pedoman

BERJAYA menunaikan rukun Islam kelima, tiga tahun lalu menjadi antara momen paling indah buat pengacara popular Nabil Ahmad.

Walaupun sudah menunaikan ibadah umrah sebanyak lima kali, namun tiada perasaan yang dapat menandingi rasa bersyukurnya berpeluang mengerjakan haji ketika berusia 31 tahun.

Malah lebih bernasib baik Nabil juga tidak sangka pemergiannya ke Tanah Suci ketika itu turut mendapat tajaan penuh untuk pakej VIP.

“Saya rasa sesiapa juga mahu menunaikan ibadah haji pada usia muda cuma setiap daripada kita mempunyai jalan yang berbeza. Macam saya, alhamdulillah dipermudah.

“Malah rezeki saya juga untuk mendapat tajaan bagi menunaikan ibadah haji tiga tahun lalu. Ikutkan memang saya mahu menunaikan ibadah haji sekali lagi cuma buat masa ini masih belum ada peluang. Yang boleh saya katakan, pengalaman yang saya dapat sepanjang di sana sangat indah dan seronok,” kata pengacara program MeleTop dan Gegar Vaganza ini.

Antara kejadian paling penting dalam diari umat Islam sepanjang menjalankan ibadah haji tentunya berlaku pada 2015 apabila hampir 2,000 jemaah mati akibat dirempuh di Mina.

Menjadi antara tetamu Allah ketika itu, Nabil akui, itu antara pengalaman yang akan terus menjadi pedoman buat hamba sepertinya.

“Memang sepatutnya rombongan saya juga berada di sana tetapi bas yang kami naiki lambat tiba. Tetapi melihat kejadian itu ketika berada di sana, persepsinya berbeza.

“Ketika orang lain menganggapnya sebagai tragedi, kami yang berada di sana berasa sungguh bertuah untuk mereka yang meninggal ketika melakukan ibadah. Seperti yang kita tahu ganjaran Allah itu pasti ada buat mereka yang berkorban ketika melakukan kebaikan,” jelasnya lagi.

Menjadi tetamu Allah dalam keadaan yang cukup selesa, Nabil sentiasa bersyukur dengan kelebihan yang dimilikinya malah keistimewaa itu turut menimbulkan rasa insaf yang tinggi buat dirinya.

“Menggunakan pakej VIP kita tahu semuanya berbeza. Jadi ketika di Arafah ketika orang lain berada dalam keadaan panas dan melihat warga tua yang terpaksa berhadapan dengan keadaan tidak selesa itu membuatkan saya rasa sangat insaf.

“Bagaimanapun saya tetap rasa bersyukur kerana sepanjang berada di sana semua ibadah saya dapat dilakukan dengan mudah tanpa sebarang cabaran,” katanya lagi.

Jika ada yang mempersoal tentang usia yang sesuai menunaikan haji, Nabil mempunyai pandangan tersendiri ketika ini.

“Sebenarnya ada yang baik dan buruk tentang mengerjakan haji pada usia muda, mungkin kita bercakap soal tenaga dan sebagainya. Namun yang kita terlepas pandang bagaimana yang muda ini bertanggungjawab dengan gelaran yang dibawa selepas pulang mengerjakan ibadah itu yang memang tidak dinafikan dugaannya agak berat.

“Sebab itu saya lebih faham apabila orang kata pergi haji bila usia lebih tua. Bukanlah tua tetapi maknanya matang sebab dari situ kita lebih bertanggungjawab dengan sebarang perbuatan kita,” ujar bapa kepada dua cahaya mata ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN