Pemandu lori didakwa membunuh, rogol penjawat awam di Sibu - Utusan Malaysia

Pemandu lori didakwa membunuh, rogol penjawat awam di Sibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIBU 21 Ogos – Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan membunuh dan merogol seorang penjawat awam wanita di sebuah bilik sewa di Jalan Tiong Hua di sini pada awal bulan ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Caroline Bee Majanil namun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Philip Uja, 42.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes itu pada 2 Oktober hadapan sementara menunggu laporan penuh bedah siasat dan kimia.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Nurnia Azalea Priscilla Edward, 26.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(4) Kanun Keseksaan kerana merogol sehingga mengakibatkan kematian mangsa.

Jika sabit kesalahan tuduhan pertama, tertuduh bakal berdepan dengan hukuman gantung sampai mati, manakala tuduhan kedua memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 15 tahun dan tidak lebih dari 30 tahun bersama 10 sebatan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di sebuah bilik tidak bernombor di Jalan Tiong Hua di sini antara pukul 8 malam pada 1 Ogos hingga 2.30 petang pada 2 Ogos lalu sebelum mayat mangsa ditemukan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Tajul Aariffin Musa manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN