JAKARTA 20 Ogos – Rekod tanpa kalah skuad muda Harimau Malaya gagal dipertahankan apabila mereka tewas 2-3 kepada Bahrain namun tetap menamatkan persaingan peringkat awal selaku juara Kumpulan E di Stadium Wibawa Mukti, Cikarang malam ini.
Walaupun tewas, kedudukan Malaysia selaku pendahulu Kumpulan E tidak terjejas kerana memiliki kelebihan rekod pertemuan dengan Korea Selatan yang muncul sebagai naib juara apabila menewaskan Kyrgyzstan 1-0 dalam satu lagi perlawanan.
Selaku juara Kumpulan E, skuad bawah 23 tahun (B-23) negara bakal bertemu Jepun yang merupakan naib juara Kumpulan D dalam perlawanan pusingan kedua pada Jumaat ini di Stadium Patriot Chandrabhaga, Bekasi.
Berita berkaitan:
Jurulatih skuad negara, Datuk Ong Kim Swee mengakui pasukannya tidak beraksi dengan baik disebabkan perubahan dalam kalangan pemainnya.
“Kami tidak beraksi dengan baik, terutama beberapa pemain yang diberi peluang untuk beraksi dalam perlawanan ini tidak menampilkan aksi memberangsangkan.
“Kita telah melakukan lapan pertukaran dan saya tidak terkejut dengan keputusan ini. Saya harap mereka dapat bangkit dalam perlawanan menentang Jepun nanti,” kata Kim Swee dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan.
Kim Swee merombak kesebelasan utamannya dengan melakukan lapan pertukaran ke atas skuad yang mencipta kemenangan bersejarah ke atas Korea Selatan minggu lalu, termasuk merehatkan Safawi Rasid.
Begitupun skuad negara bermula dengan garang untuk mendahului menerusi jaringan pemain Selangor, Syahmi Safari yang merembat dari luar kawasan gol pada minit ke-20.
Tersentak dengan asakan bertali arus daripada jentera serangan Malaysia menyebabkan Bahrain memperkemaskan rentak permainan dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi kapten mereka Mohamed Hardan pada minit ke-33.
Bahrain terus memberikan tekanan kepada Malaysia apabila pemain Hamad Alhamsan menanduk masuk gol kedua daripada sepakan sudut pada minit ke-37 untuk memastikan mereka selesa mendahului 2-1.
Pasukan lawan menambah derita skuad B-23 negara apabil Hardan sekali lagi meledak gol kedua peribadinya dan ketiga untuk pasukan Bahrain dengan penyudah cantik pada minit ke-89.
Malaysia tidak patah semangat untuk mencari gol dan berhasil merapatkan jurang setelah pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti kepada skuad negara pada masa kecederaan selepas Akhyar Rashid dijatuhkan dan peluang tersebut dimanfaatkan dengan baik oleh penyerang gantian Safawi untuk menjadikan kedudukan 3-2. – UTUSAN











