PETALING JAYA – Seorang lelaki yang menetak mati anak lelakinya berusia lima tahun ketika tidur dalam kejadian di sebuah rumah flat di Puchong pada minggu lalu didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan membunuh.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Mohd. Faih Rifin, 36, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Arifffin Hisham. Kes tersebut akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Faih didakwa membunuh anaknya, Muhammad Waiz Wazzini di sebuah rumah flat Puchong Permai 1/6, Taman Puchong Permai di sini antara pukul 2.30 petang hingga pukul 5.30 petang pada 13 Ogos lalu.
Pertuduhan ke atas bekas anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Firdaous Mohamed Idris manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah menetapkan 16 Oktober ini bagi sebutan semula kes dan laporan bedah siasat.











