Pengeluaran Myvi baharu terjejas - Utusan Malaysia

Pengeluaran Myvi baharu terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pengeluaran Myvi baharu yang juga model paling laris Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) terpaksa dihentikan untuk sementara waktu berikutan gangguan bekalan di salah satu vendornya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Langkah itu menyebabkan kira-kira 3,000 pelanggan gagal mendaftar kenderaan masing-masing sebelum akhir bulan ini.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Datuk Dr. Zahari Husin berkata, pihaknya bertanggungjawab sepenuh­nya di atas perkara itu dan sedang mengambil langkah bagi memastikan pengeluaran dapat disambung semula secepat mungkin.

“Kami memohon maaf kepada para pelanggan yang telah menunggu penuh sabar bagi mendapatkan kereta mereka,” katanya menerusi satu kenyataan di sini semalam.

Zahari menjelaskan, para pelanggan terbabit sepatutnya menerima kereta masing-ma­sing sebelum 1 September depan dan usaha sedemikian sememangnya menjadi keutamaan pihak Perodua.

Beliau berkata, pengeluar kereta itu baru saja selesai memenuhi tempahan Myvi yang dibuat sebelum 1 Jun lepas.

“Kami amat maklum dan memahami kekecewaan para pe­langgan.

“Sehubungan itu, kami sedang berusaha dari segi pampasan kepada pelanggan ter­babit dan akan menghubungi mereka dengan segera menerusi cawangan kami,” ujar beliau.

Zahari memaklumkan, pengeluaran model Perodua yang lain seperti Axia, Bezza dan Alza berjalan dengan lancar.

Menurut kenyataan itu, permintaan terhadap kenderaan terbukti melonjak berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkadar sifar mulai 1 Jun lepas serta menjelang pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September ini.

Lebih 68,000 daripada 120,000 tempahan Myvi baharu dapat dipenuhi sejak pelancarannya pada November tahun lepas.

Perodua berjaya menjual kira-kira 140,000 unit kende­raan bagi tempoh Januari dan Julai pada tahun ini iaitu pe­ningkatan hampir 19 peratus berbanding 118,600 unit yang dijual pada tempoh sama tahun lepas. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN