Tidak akan tunduk pada tekanan - Utusan Malaysia

Tidak akan tunduk pada tekanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA – Presiden Tayyip Erdogan berkata semalam bahawa serangan ke atas ekonomi Turki tiada bezanya dengan serangan ter­hadap bendera negara ber­kenaan mahupun laungan azan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata demikian menjelang cuti Hari Raya Aidiladha selama empat hari yang bermula hari ini sebagai me­ngulas aktiviti penjualan mata wang Turki, lira oleh pedagang-pedagang mata wang baru-baru ini.

Dalam ucapannya, Erdogan berkata, matlamat krisis mata wang lira itu adalah untuk menundukkan Turki dan rakyatnya.

Mata wang lira susut kira-kira 40 peratus nilainya tahun ini, antara lain berpunca daripada kebimbangan mengenai pengaruh Erdogan ke atas dasar kewangan negara dan perbalahan diplomatik yang semakin buruk dengan Amerika Syarikat (AS).

Krisis mata wang itu menular ke pasaran baru muncul yang lain dan pasaran saham global sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

“Serangan ke atas ekonomi kami sama sekali tiada beza­nya dengan serangan terhadap bendera dan laungan azan. Matlamatnya adalah sama. Matlamatnya ialah untuk menundukkan Turki dan rak­yatnya.

“Bagi sesiapa yang berfikir bahawa mereka boleh membuatkan Turki tunduk dengan serangan ini, mereka sebenar­nya silap,” kata Erdogan dalam ucapannya di televisyen.

Erdogan tidak menamakan secara langsung negara atau institusi terbabit tetapi beliau sebelum ini menyalahkan serangan mata wang itu ke atas pelobi-pelobi kadar faedah, agensi penarafan dan pembiaya kewangan Barat. 
– Reuters

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN