Merdekakan jati diri bangsa - Utusan Malaysia

Merdekakan jati diri bangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP tahun rakyat me­raikan sambutan Hari Kebangsaan sempena kemerdekaan negara pada 31 Ogos.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tahun ini adalah sambutan ke-61 negara bebas daripada penjajahan British.

Sepanjang rentasan masa itu, pelbagai peristiwa suka duka dilalui negara bernama Malaysia ini. Apa yang membanggakan adalah episod cerita kejayaannya – membangun daripada sebuah negara mundur menjadi semakin membangun dan maju.

Jika sebelum ini Teropong Kawan sering mengutarakan isu-isu politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), namun sempena sambutan Hari Kebangsaan kali ini, lebih molek sekiranya menyentuh tentang jati diri Bangsa Malaysia dalam era digital.

Teropong Kawan berpendapat, sambutan Hari Kebangsaan bukan sekadar laungan ‘Merdeka’ dan kibaran Jalur Gemilang!

Apa yang lebih penting, adakah jiwa dan jati diri setiap rakyat Malaysia sudah benar-benar bebas daripada ‘penjajahan’. Penjajahan masa kini hadir dalam pelbagai bentuk, terutamanya gaya hidup, budaya dan pemikiran.

Mungkin pihak British tidak lagi menjajah secara fizikal, namun kesan ledakan teknologi maklumat dan komunikasi serta era digital kini mempunyai pe­ngaruh yang amat kuat dalam kehidupan seseorang.

Jelas di hadapan kita, generasi muda semakin kekok untuk bergaul sesama mereka, tetapi sebaliknya lebih gemar ‘bermain’ dan berkomunikasi dalam alam maya.

Lama-kelamaan perhubungan antara mereka semakin renggang dan ramai yang hanya ‘bertemu’ menerusi media sosial seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp daripada bersemuka.

Kenapa perkara ini terjadi? Jawapannya mudah – kerana ke­si­bukan masa dan semua orang le­bih ‘selesa’ berkomunikasi me­nerusi media sosial daripada bertemu di tempat lain seperti restoran, kedai mamak atau pusat beli-belah.

Malah, lebih menyedihkan apabila generasi muda sering memberikan alasan atau mengelak apabila diajak menghadiri kenduri-kendara termasuk majlis perkahwinan saudara-mara atau kenalan ibu bapa mereka yang pastinya mengumpulkan ramai sanak-saudara.

Sepatutnya majlis seperti ini diimarahkan kerana sudah terbukti sejak dahulu berjaya mengeratkan hubungan silaturahim antara saudara-mara dan kenalan.

Majlis kenduri-kendara seperti itu sebenaranya menjadi jamba­tan yang terus menghubungkan ikatan persaudaraan antara mereka dan aktiviti rewang memasak makanan biasanya berlangsung meriah.

Seperkara lagi, sebagai tanda cintakan negara, Teropong Kawan berharap semua rakyat Malaysia supaya bertekad untuk menyum­bang bakti dalam bidang atau kerjaya masing-masing bagi me­ngangkat lebih tinggi darjat, nama dan imej Malaysia di persada dunia.

Buangkan jauh-jauh perasaan terlalu mengharapkan orang lain, sedangkan semua orang ada pera­nan masing-masing untuk me­nyumbang bakti kepada negara.

Sama ada sumbangan itu besar atau kecil, usah dipertikaikan kerana yang penting nawaitu untuk bersama-sama memajukan lagi negara ini.

Justeru, semua harus bertekad untuk menyumbang kepada Malaysia yang lebih maju dan harmoni.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN