SIK 20 Ogos – Seekor ular tedung selar yang bersembunyi di atas siling rumah seorang lelaki di Kampung Paya Terendam, semalam, berjaya ditangkap oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, penghuni rumah berkenaan ternampak kelibat ular seberat 10 kilogram itu di kawasan berkenaan sebelum menghubungi APM.
Lelaki berkenaan, Mohd. Syukri Shabudin, 31, berkata, ketika itu dia mahu ke bilik air dan terperasan ada sesuatu yang bergerak di atas siling dapur.
“Ketika mahu melangkah ke bilik air yang letaknya bersebelahan dapur, saya terpandang siling dan ternampak seperti kepala ular di celah-celah siling dapur.
“Saya amat terkejut melihatnya kerana ternampak kepalanya yang besar sedang menjulur keluar lalu saya segera ke dalam rumah memberitahu ahli keluarga yang lain,” kata Mohd. Syukri.
Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Sik, Kapten (PA) Mohd. Mukhrij Md. Sabir berkata, mereka menerima panggilan kes sekitar pada pukul 4.10 petang dan mengambil masa lapan minit ke lokasi kejadian.
“Seramai empat anggota bergegas ke lokasi dan mendapati ular tersebut berada di dalam siling dapur menyebabkan anggota APM mengalami kesukaran untuk menangkap reptilia berkenaan.
“Ia sememangnya agresif dan kami terpaksa membuka siling dapur bagi mengesan kedudukan ular itu,” katanya.
Katanya lagi, sehingga kini terdapat 138 kes tangkapan ular dilakukan sejak Januari lalu dan meminta orang awam segera menghubungi APM jika terdapat gangguan reptilia berbisa di sekitar rumah mereka.











