Pasukan memanah bukan underdog - Utusan Malaysia

Pasukan memanah bukan underdog

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA 20 Ogos – Atlet memanah recurve negara Khairul Anuar Mohamad menegaskan bahawa Malaysia tidak sewajarnya dilabel sebagai underdog kerana mereka juga memiliki kualiti dan setanding dengan pasukan lain dalam Sukan Asia 2018.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, pasukan lawan turut menghormati kemampuan yang dimiliki pasukan negara yang dianggap mampu memberikan cabaran kuat dalam temasya edisi ke-18 itu.

“Saya rasa kita tidak wajar dilabel sebagai underdog kerana kita memiliki kualiti dan negara-negara lain turut menghormati keupayaan yang dimiliki pemanah negara.

“Jika difikirkan, kita lebih dari­pada sekadar mampu untuk memberi saingan, malah meraih pingat.

“Walau bagaimanapun, saya akui beberapa kuasa besar memanah antarabangsa seperti China, Korea Selatan, India, Taiwan dan Indonesia boleh memberi kesukaran buat pasukan negara,” katanya selepas sesi latihan di Lapangan Memanah Bung Karno, hari ini.

Dalam edisi sebelum ini, skuad memanah recurve negara berjaya meraih pingat perak di Incheon pada 2014.

Khairul Anuar berkata dia yakin mampu beraksi cemerlang di sini berdasarkan kepada hasil latihan tiga minggu di Korea Selatan.

“Kami telah menjalani latihan intensif di Korea Selatan selain jurulatih mengatur beberapa perlawanan persahabatan terma­suk dalam kalangan atlet, penuntut universiti dan pelajar sekolah.

“Walaupun mereka (lawan dalam perlawanan persahabatan) masih dalam proses pembelajaran, tetapi tahap permainan mereka sangat berkualiti dan saya anggap sebagai aksi memanas badan yang kompetitif dalam misi kami melakukan yang terbaik dalam Sukan Asia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN