KOCHI 20 Ogos – Agensi kesihatan India bersiap sedia untuk menangani sebarang penularan wabak penyakit di Kerala selepas banjir semakin surut dan kerja-kerja pembersihan dilakukan.
Hujan lebat berterusan sejak 8 Ogos lalu menyebabkan paras sungai meningkat dan mencetuskan beberapa insiden tanah runtuh, selain berpuluh-puluh orang dilaporkan hilang serta hampir sejuta penduduk berlindung di ribuan kem sementara.
Pasukan berkuasa telah berjaya menyelamat 22,000 penduduk Kerala yag dilanda banjir dan hampir 400 orang terkorban dalam bencana berkenaan.
Jurucakap pihak berkuasa, Mahesh P. berkata, cabaran utama kini adalah untuk melakukan proses pembersihan secara besar-besaran melibatkan banyak kediaman dan menangani sebarang penularan wabak penyakit yang berpunca daripada air.
“Penduduk kampung juga banyak memberi bantuan kepada pasukan penyelamat dalam melakukan operasi mencari serta menyelamat (SAR) mangsa.
“Operasi SAR diutamakan kepada golongan warga emas, kanak-kanak dan wanita. bencana ini secara tidak langsung menguatkan ikatan hubungan antara semua pihak yang memberi kerjasama,” katanya.
Jurucakap Jabatan Kesihatan Kerala, Anil Vasudevan pula menyatakan bahawa negeri ini sudah melakukan persiapan untuk berdepan sebarang penularan wabak penyakit selepas banjir, terutamanya di kem-kem perlindungan.
Selain itu jelasnya, bekalan ubat-ubatan mencegah penyakit berjangkit juga sudah diedarkan untuk kegunaan semasa.
Dalam pada itu, hujan sederhana dijangka turun di Kerala hari ini, sekali gus memberi cabaran kepada pasukan penyelamat untuk menyelamatkan ribuan penduduk terkandas akibat tanah runtuh di beberapa kawasan. – REUTERS











