MATARAM 20 Ogos – Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dalam kejadian gempa bumi baharu yang melanda Lombok semalam.
Gempa berukuran 6.3 skala Richter itu berlaku dua minggu selepas pulau itu dilanda dua lagi gempa bumi yang meragut hampir 500 nyawa.
Kejadian gempa yang berlaku pada kedalaman tujuh kilometer ke Lombok Timur itu turut menyebabkan tanah runtuh di beberapa kawasan dan menyebabkan penduduk lari ketakutan, selain bekalan elektrik terputus.
Hampir 12 jam kemudian, satu gempa susulan berukuran 6.9 magnitud melanda pulau ini dan terus menimbulkan keresahan penduduk tempatan.
Lombok kini dalam proses baik pulih selepas dua gempa bumi sederhana melanda pulau ini pada 29 Julai dan 5 Ogos lalu menyebabkan banyak penduduk kehilangan tempat tinggal akibat kediaman musnah.
Menurut jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Sutopo Purwo Nughoro, 10 mangsa maut akibat terkena serpihan runtuhan bangunan dengan empat daripadanya berlaku di Lombok Timur dan enam lagi di pulau Sumbawa.
Selain itu, dua lagi penduduk maut akibat serangan jantung selepas gempa bumi berlaku, manakala 20 orang cedera dan lebih 150 buah rumah serta masjid musnah.
“Apabila gempa berlaku, orang ramai panik dan lari keluar meninggalkan rumah masing-masing. Keadaan itu secara tidak langsung mengurangkan jumlah kematian berbanding insiden gempa pada 5 Ogos lalu.
“Rasa trauma yang masih menebal dalam kalangan penduduk menyebabkan mereka cepat panik dan terus lari selamatkan diri bila gegaran berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, pihak berkusa memindahkan beberapa pesakit dari hospital di Sumbawa dan Mataram bagi mengelakkan kejadian buruk berlaku.
Beberapa jalan raya turut rosak teruk, selain berlaku kebakaran di sebuah perkampungan di Sumbawa akibat litar pintas.
Rakaman video di kem perlindungan juga menunjukkan golongan kanak-kanak dan dewasa mendirikan khemah untuk berlindung.
Seorang penduduk, Saruniwati berkata, dia berasa takut untuk tinggal di rumah kerana sebahagiannya sudah rosak akibat gempa terdahulu.
“Saya sudah berada di kem perlindungan sejak awal bulan ini dan saya hanya pulang ke rumah selama dua hari sebelum buat keputusan untuk terus tinggal di sini,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk tempatan, Agus Salim memberitahu bahawa gegaran yang berlaku amat kuat menyebabkan penduduk lari bertempiaran sambil menangis dan menjerit.
Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok masih beroperasi seperti biasa biarpun pulau ini sudah dilanda beberapa siri gempa bumi.
Jurucakap lapangan terbang, I Gusti Ngurah Ardita berkata, aktiviti kemasukan pelancong ke Lombok berjalan seperti biasa setakat ini dan tiada sebarang gesaan untuk mereka keluar dari pulau. – AFP











