PM harap China faham - Utusan Malaysia

PM harap China faham

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING 20 Ogos – Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta Beijing untuk lebih bersimpati berhubung isu fiskal semasa Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perdana Menteri berharap China akan memahami situasi itu dan dapat membantu menyelesaikannya.

“Kami berharap China memahami masalah kami dan akan bersimpati berhubung dengan masalah fiskal dalaman kami,” katanya pada sidang akhbar bersama dengan rakan sejawatannya Perdana Menteri China, Li Keqiang selepas mesyuarat dua hala mereka di sini.

Dr. Mahathir dalam rangka lawatan rasmi lima hari di China.

“Bantu kami menyelesaikan sesetengah daripada masalah fiskal kami,” kata Dr Mahathir.

Kerajaan baharu Malaysia di bawah Pakatan Harapan, pimpinan Dr. Mahathir, berdepan hutang kira-kira RM1 trilion didakwa akibat salah pengurusan kewangan negara oleh kerajaan terdahulu.

Dr. Mahathir berkata, hubu­ngan dua hala Malaysia-China perlu diperkukuhkan lagi.

Beliau berkata, inovasi dan kemajuan teknologi China dapat menyumbang kepada pembangunan Malaysia.

Li, sementara itu berkata, wujud keperluan untuk dipertingkatkan lagi hubungan dua hala yang baik ke tahap baharu menerusi jalinan kerjasama dalam pelbagai bidang dan dimensi baharu.

Perdana Menteri China itu berkata, kedua-dua pihak bersetuju untuk mengekalkan hubungan baik antara kedua-dua negara demi manfaat rakyat mereka.

Mereka juga menyasarkan untuk meningkatkan perdagangan dua hala dengan harapan untuk memperbaiki imbangan perdagangan antara mereka.

“China bersedia untuk meningkatkan import barangan kompetitif dari Malaysia terutamanya minyak sawit dan produk pertanian yang lain,” katanya.

Menjawab soalan tentang pe­rang perdagangan ketika ini antara Amerika Syarikat dan China, Dr. Mahathir menegaskan perdagangan bebas sepatutnya menjadi pilihan semua negara.

Bagaimanapun, katanya, perdagangan bebas semata-mata tidak memadai kerana ia perlu diiringi dengan perdagangan adil yang juga akan bermanfaat kepada negara kecil dan miskin.

Menjawab soalan sama, Li berkata, pergeseran perdagangan, dalam jangka pendek, akan mendorong negara-negara mencari pasaran alternatif.

Bagaimanapun, katanya, per­sekitaran perdagangan dan ekonomi global akan menjadi lebih teruk jika situasi itu berlarutan.

Terdahulu, kedua-dua pe­mim­pin menyaksikan pemeteraian lima dokumen antara kedua-dua negara di venue mesyuarat dua hala itu diadakan, di bangunan Great Hall of the People.

Dokumen itu ialah Perjanjian Lanjutan bagi Pengaturan Tukaran Mata Wang Dua Hala; dan Protokol Pemeriksaan dan Keperluan Kua­rantin bagi Eksport Durian Sejukbeku.

Turut ditandatangani ialah me­morandum persefahaman (MoU) bagi Pembangunan dan Promosi Bio­fuel Minyak Sawit Malaysia; MoU bagi kerjasama dalam Teknologi Jalan Bitumen Berturap Getah dan Automasi dan Meka­nisme Torehan Getah; dan MoU bagi Kerjasama Kawal Selia Perakaunan dan Audit. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN