Anak gajah mati akibat perangkap haram - Utusan Malaysia

Anak gajah mati akibat perangkap haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU – Seekor anak gajah yang sedang menerima rawatan di Santuari Gajah Borneo di Lahad Datu mati akibat cedera parah kesan daripada perangkap haram pada Ahad lalu.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Hidupan Liar Sabah, Siti Nur’Ain Ampuan Acheh berkata, gajah jantan berusia lingkungan tujuh hingga sembilan tahun itu didapati lemah pada sebelah pagi pada hari yang sama.

Beliau berkata, gajah itu disahkan mati pada pukul 3 petang biarpun pasukan perubatan telah memberikan rawatan terbaik untuk merawat mamalia itu.

“Pada Ahad lalu, kami mendapati keadaan kesihatan gajah semakin merosot. Lebih menyedihkan haiwan berkenaan tidak boleh berdiri.

“Hasil bedah siasat mendapati kematian haiwan itu berpunca daripada kegagalan pelbagai organ untuk berfungsi akibat jangkitan pada kesan luka di kaki gajah tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, hasil bedah siasat turut mendapati gajah berkenaan berkemungkinan terperangkap lebih lima minggu sebelum haiwan itu diselamatkan renjer hutan.

Anak gajah jantan itu diselamatkan oleh pasukan Jabatan Hidupan Liar Sabah pada awal minggu lalu di Taliwas, Lahad Datu.

Haiwan berkenaan kemudian di pindahkan ke pusat Santuari Gajah Borneo untuk mendapatkan rawatan.

Gajah tersebut mengalami kecederaan parah pada kaki kiri kesan daripada perangkap pemburuan haram. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×