KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang berada di luar negara dijangka akan pulang ke negara ini dalam masa terdekat.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai sebuah mesej yang tular di laman media sosial sejak malam kelmarin mengenai kepulangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga tersebut.
Mohamad Fuzi berkata, pihaknya sudah menghubungi Musa dan berharap beliau akan pulang secara sukarela ke tanah air.
“Mesej tersebut cuma mesej tular dan kami tidak dapat memastikan bila beliau akan pulang.
“Saya tidak boleh kata dia akan pulang hari ini, dan tidak juga boleh katakan esok tetapi dalam masa terdekat,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Gotong-Royong Mega 1.0 Perangi Aedes di Mes Pegawai Kanan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Beliau menjelaskan, pihaknya berharap Musa akan pulang segera dengan sukarela bagi melengkapkan kertas siasatan.
Terdahulu, sebuah mesej yang tular di laman media sosial kelmarin memaklumkan Musa akan mendarat di Singapura sebelum memasuki Malaysia melalui Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang atau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
Musa dalam satu kenyataannya sebelum ini berkata, beliau berada di United Kingdom atas sebab perubatan dan urusan peribadi, sekali gus menafikan dakwaan bahawa dirinya menjadi pelarian selepas laporan intimidasi jenayah terhadapnya oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Musa mengesahkan beliau meninggalkan Malaysia secara sah pada 16 Mei lalu.
Pada 11 Julai lalu, Mohamad Fuzi turut mengesahkan Musa kini diletakkan dalam senarai individu yang dikehendaki. – K! ONLINE











