KUALA LUMPUR – Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan lancar setakat pukul 6 petang ini tetapi dijangka sesak bermula pukul 9 malam berikutan orang ramai mula pulang ke kampung untuk menyambut Aidiladha Rabu ini.
Aliran trafik dari kedua-dua arah utara dan selatan dilaporkan lancar, demikian menurut Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS).
Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, trafik perlahan menghala ke Pantai Timur dari Km34.5 (Gombak) berikutan terdapat sebuah kontena rosak tetapi tidak menghalang laluan.
Sementara Lebuh Raya Kuala-Lumpur-Karak (KLK), Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 juga dilaporkan lancar.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000, laman Twitter di www.twittercom/plustrafik, talian LLM di 1800-88-7752 dan laman Twitter di www.twitter.com/LLMinfotrafik. – Bernama











