KUALA LUMPUR 20 Ogos – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengetuai 14 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dalam gerakan kempen boikot, lupus dan sekat (BDS) barangan Amerika Syarikat sebagai tanda protes sekatan ekonomi yang dilancarkan negara tersebut terhadap Turki.
Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya akan berbincang dengan lebih banyak NGO Islam yang lain bagi memastikan kempen BDS itu dapat dilakukan dalam masa terdekat.
“Rakyat Malaysia juga perlu membeli produk dari Turki selain memilih negara itu sebagai destinasi pelancongan bagi membantu meningkatkan tahap ekonomi mereka.
“Dalam kertas cadangan Mapim yang diserahkan kepada wakil kedutaan Turki, kita mencadangkan semua negara Islam memutuskan hubungan perdagangan dengan Amerika Syarikat selain membuat pelaburan yang lebih banyak ke Turki,” katanya dalam sidang akhbar sokongan NGO Malaysia kepada Turki di Menara Tan and Tan di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd. Fakhrulrazi Mohd. Mokhtar dan wakil daripada 13 NGO Islam. -UTUSAN ONLINE











