KUALA LUMPUR 20 Ogos – Penggunaan alat muzik drum dan alat siaraya oleh ‘buskers’ sekitar ibu negara dilarang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkuatkuasa serta merta.
Timbalan Pengarah Kanan Penguatkuasa DBKL, Osman Ismail berkata, larangan tersebut telah dimaklumkan melalui notis peringatan yang dikeluarkan pada awal bulan ini kepada kumpulan pemuzik berdaftar dan memiliki permit untuk dipatuhi.
“Tindakan penguatkuasaan hanya dilakukan selepas tempoh dua minggu notis dikeluarkan bagi memberi peluang kepada mereka mematuhi syarat-syarat yang terkandung dalam permit penghibur jalanan.
“Peraturan pemakaian tag permit sewaktu ‘busking’ juga diwajibkan termasuk mematuhi lokasi dan had waktu persembahan muzik jalanan yang telah ditetapkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan sita alat muzik salah sebuah kumpulan ‘buskers’ kurang upaya dalam satu operasi penguatkuasaan sekitar Bukit Bintang di sini yang tular di media sosial baru-baru ini – UTUSAN ONLINE











