6 RAMD patahkan cubaan tiga lelaki seludup ketum ke Thailand - Utusan Malaysia

6 RAMD patahkan cubaan tiga lelaki seludup ketum ke Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Cubaan tiga lelaki untuk menyeludup 194 kilogram (kg) daun ketum ke Thailand dengan menggunakan motosikal gagal apabila kegiatan mereka itu dikesan Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (6 RAMD) berhampiran Pos Sahara, Kuala Nerang dekat sini semalam.

Panglima 6 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, rampasan dibuat oleh kumpulan ronda diketuai Leftenan Muda Mohamad Hafizudin Alimat bersama empat anggotanya kira-kira pukul 5.45 petang.

“Semasa membuat tugasan ronda, sub unit telah terserempak dengan tiga lelaki dipercayai warga tempatan menunggang tiga buah motosikal Thailand dengan membawa enam guni putih.

“Kesemua lelaki itu bertindak melarikan diri ke dalam hutan menuju sempadan dengan meninggalkan guni dan motosikal masing-masing sebaik sahaja menyedari kehadiran pasukan keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, pemeriksaan lanjut ke atas enam guni tersebut menemui 194 kg daun ketum yang telah siap diikat dan dibalut dengan plastik lutsinar bernilai RM17,460.

“Kebiasaannya kita menemui ketum di dalam semak, namun kali ini penyeludup semakin berani apabila menyeludup daun tersebut menggunakan motosikal terus ke sempadan,” ujarnya.- K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×