KUALA LUMPUR 20 Ogos- Seorang lelaki warga Jepun maut selepas kereta dipandunya merempuh seekor lembu di susur masuk Plaza Tol Bangi, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke selatan, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi, Rosman Majid berkata, mangsa, Shimizuishi Masatoshi berusia lingkungan 40-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Kejadian berlaku kira-kira pukul 6.38 pagi dan pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam dua minit kemudian.
“Ketika tiba di lokasi, kita mendapati ada kemalangan membabitkan sebuah kenderaan dan seekor lembu serta seorang mangsa tersepit dalam kereta berkenaan. Mangsa dikeluarkan dengan menggunakan pemotong hidraulik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











