Guardiola tabik hatrik Aguero - Utusan Malaysia

Guardiola tabik hatrik Aguero

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER 20 Ogos – Pep Guardiola menghambur pujian terhadap Sergio Aguero, yang dianggap mempamer permainan terbaiknya ketika Manchester City membelasah Huddersfield 6-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, sebentar tadi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selepas mencipta rekod penjaring terbanyak ketika membantu City merangkul kejuaraan Liga Perdana musim lalu, penyerang Argentina itu melakar satu lagi detik cemerlang di Stadium Etihad hari ini.

Aguero, 30, kini telah meledak 14 gol dalam lapan perlawanan terakhir liga di Etihad, malah berkongsi rekod bersama legenda Liverpool, Robbie Fowler dengan mencatat sembilan hatrik pada saingan Liga Perdana.

“Hantaran-hantaran yang dilakukan sangat menakjubkan. Kawalan bola oleh Sergio Aguero juga amat hebat.

“Saya tidak pernah lihat dia sehebat ini sejak tiba di sini. Dia berada dalam keadaan yang cukup menakjubkan ketika mendapat bola atau ketika tidak mendapat bola.

“Pada mulanya, saya hendak mengeluarkan Sergio sebelum dia menyempurnakan hatrik, namun penamat perlawanan hari ini sangat sempurna. Dia menjaringkan gol demi gol dan berhak mendapat pujian,” kata Guardiola.

Hatrik Aguero tiba pada minit ke-25, 35 dan 75, manakala tiga lagi gol hadir menerusi Gabriel Jesus (minit ke-31) dan David Silva (minit ke-48), selain jaringan sendiri Terence Kongolo. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN