KOTA BHARU 19 Ogos – Polis sedia membantu pihak berkuasa Thailand mengesan lapan suspek yang disyaki terlibat dengan kes penemuan 41 butir bom di Takbai, Narathiwat, Thailand pada Jun lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pihaknya menerima senarai nama lapan suspek berkenaan dalam mesyuarat bersama Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Manus Siksamut minggu lalu.
Kata beliau, senarai nama tersebut diserahkan kepada Ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman dan akan disemak bagi menentukan sama ada kes itu disiasat oleh Bukit Aman atau Polis Kelantan sendiri.
“Lapan suspek terbabit lelaki berusia antara 20-an hingga 30-an dan mereka semua dipercayai berasal dari negara jiran. Kita akan bantu pihak berkuasa Thailand mengesan semua suspek itu jika betul mereka berada di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Peringkat Kontinjen Kelantan di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Dalam majlis itu seramai 10 wartawan daripada Kosmo!, Kumpulan NSTP, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Bernama, TV9 dan China Press menerima surat penghargaan daripada polis Kelantan.
Pada 21 Jun lalu, Polis Thailand menemukan sebanyak 41 butir bom bersama alat peledaknya dalam sebuah trak yang ditahan ketika sekatan jalan raya di Kampung Saring, Takbai, Narathiwat.
Bom buatan sendiri itu dipercayai dihasilkan di negara ini sebelum diseludup ke Thailand menerusi Sungai Golok.
Mengulas perkara itu, Hasanuddin berkata, dakwaan bom buatan sendiri itu dihasilkan di negara ini merupakan siasatan awal semata-mata dan belum disahkan.
“Mengenai kenyataan Ketua Polis Narathiwat bahawa mereka mendapati bahan membuat bom itu seperti batang paip PVC datang dari negara ini, apa yang saya ingin nyatakan bahan seperti itu banyak dijual di kedai perkakasan.
“Namun, kandungan bahan letupan itu sendiri adalah barang kawalan dan tidak semudah itu untuk diperoleh, perlukan permit daripada pihak berkuasa,” katanya.











