APA sahaja yang dilakukan oleh Al Ghazali atau Al pasti menjadi tumpuan ramai. Populariti anak kepada Ahmad Dhani dan Maia Estianty ini memang mantap sungguh, tidak dapat disangkal lagi. Mungkin juga kerana kehidupannya yang agak bebas membuatkan dirinya sering menjadi perhatian.
Terbaru putera sulung pasangan tersebut dikatakan mengambil dadah secara berlebihan. Gosip tersebut berterbangan apabila foto ahli muzik berusia 20 tahun itu yang sedang terbaring lesu di sebuah hospital telah di muat-naik di laman gosip popular @Lambe_turah.
Ia memperlihatkan Al sedang menjalani pemeriksaan darah serta ujian air kencing. Dalam masa yang sama juga turut kelihatan kekasihnya, Alyssa Daguise yang dikatakan turut menjalani pemeriksaan yang sama.
Laman gosip tersebut juga mengungkapkan bahawa artis remaja tersebut telah dikejarkan ke hospital kerana keadaan kesihatan yang membimbangkan setelah terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Spekulasi yang mengundang buah mulut itu akhirnya di jawab oleh wakil syarikat rakaman Republik Cinta Management (RCM), Dian Rahmaniar Marmen.
“Ya, Al ada masuk hospital baru-baru ini disebabkan kepenatan yang melampau bukan kerana dadah. Disebabkan terlalu letih dia terpaksa dibawa ke hospital untuk diperiksa. Namun Al bukanlah ditahan di wad seperti yang diperkatakan umum,” ujarnya.
Dian juga menafikan bahawa artis remaja itu mengambil dadah secara berlebihan malah hanya menjalani pemeriksaan biasa sahaja. Dalam masa yang sama turut membantah bahawa kekasih ahli muzik itu juga turut melakukan ujian air kencing dan darah kerana didapati positif dadah.
“Ujian air kencing sudah dilakukan tiada apa-apa yang terlebih dos. Hasil darah normal, semua ujian Magnetic Resonance Imaging (MRI) juga baik tiada apa yang perlu dirisaukan cuma sekarang dia tengah berehat sementara di rumah ibunya, Maia untuk seketika waktu. Seperti yang diketahui, Al terlalu letih sejurus selesai membuat persembahan di Garut, Jawa Barat,” tegas Dian.
Menjawab persoalan tentang petugas Badan Narkotika Nasional (BNN) yang dikatakan dilihat mengawal artis tersebut sepanjang bertugas sebagai disc jokey (DJ) dalam persembahan baru-baru ini, Dian bagaimanapun menegaskan pihak pengurusan sengaja meminta agar Al dikawal semasa bekerja.
“Ini kerana tempat Al bekerja sinonim dengan pelbagai hal negatif seperti dadah dan sebagainya. Jadi kami minta BNN mengawal. Rasanya tidak salah kerana kami sendiri tahu dunia pekerjaannya terdedah kepada hal-hal seperti itu. Lebih baik di cegah dari awal,” ujarnya.
Tidak berdiam diri setelah dirinya dituduh mengambil dadah, Al Ghazali turut memuat-naik kata-kata sindiran di laman Instagram Stories. Dia meminta agar netizen tidak memandang orang lain hanya dengan sebelah mata sahaja.
“Dajjal itu cuma memiliki satu mata. Jadi jangan suka memandang orang hanya dengan sebelah mata sahaja. Apapun pendapatmu adalah pendapatmu, apapun pada diriku adalah diriku. Tugasku adalah bahagia dan cuci tangan. Salam sejahtera,” tulis Al penuh makna.
Gambar bercium jadi tumpuan
SELAIN kerana faktor ibu bapanya yang terkenal, kisah percintaannya dengan gadis seksi bernama Alyssa Daguise, 20, sering dibahaskan umum. Ini kerana gaya hubungan mereka yang agak berani seringkali mengundang kecaman ramai.
Baru-baru ini, dia memuat-naik sekeping foto sedang bercium dengan kekasihnya di laman Instagram dan ramai yang mempersoalkan tentang tindakannya itu. Namun nampaknya ia tidak sedikit pun meninggalkan kesan kepada anak pertama daripada tiga orang adik-beradik ini.
Momen mencium bibir kekasihnya itu bukanlah merupakan yang pertama kerana sebelum ini gambar aksi mesra mereka pernah menjadi tular di media sosial pada tahun 2016.
“Tidak ada hubungan seks atau apa-apa yang difikirkan oleh orang di luar. Hanya sekadar ciuman biasa sahaja tetapi masyarakat yang memperbesar-besarkannya,” ungkapnya satu ketika dahulu ketika ditanya tentang foto ciuman mesra terhadap kekasihnya itu.
Dilahirkan pada 1 September 1997, Al juga mempunyai dua orang adik iaitu Ahmad El Jallaludin Rumi dan Ahmad Abdul Qodir Jaelani. Dia dan kedua-dua orang adiknya kini berada di bawah jagaan bapanya setelah kedua orang tuanya bercerai pada tahun 2006 yang lalu.











