GOSIP tentang pergolakan perkahwinan pasangan pelakon Vanidah Imran dan Rashidi Ishak sudah lama bertebaran. Kalau dihitung kira, rasanya topik mereka ini jadi buah mulut ramai sejak empat tahun lalu tetapi hilang begitu sahaja. Masa itu masing-masing pernah membuat pengakuan yang mereka hidup dalam bahagia. Tak ada istilah gaduh-gaduh ni, romantis sepanjang masa tau.
Tapi sehari dua ni, topik yang sama tiba-tiba timbul semula. Ada orang memberitahu Mary Jane yang kedua-dua pelakon telefilem Neon itu sudah tidak lagi bersama, sudah bawa haluan masing-masing. Malah, sudah naik sampai ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pun pada 9 Ogos lalu.
Nampak seriuslah tu dan barangkali sudah tidak mampu diselamatkan lagi. Kenapa hendak dirahsiakan, Mary anggap mereka punya sebab musabab tersendiri, tak perlulah kita hendak bertanya lebih-lebih.
Sungguh pun begitu yang menariknya, Mary dapat tahu yang mereka berdua tetap berkawan baik sampai sekarang, tidak ada istilah ‘perang’. Berpisah cara baik jadi pilihan demi anak-anak tersayang. Kalau tak percaya boleh tengok kemesraan mereka di Instagram, masih berbalas kata-kata manis dan sokongan antara satu sama lain.
Kita sebagai orang luar, usahlah sesekali buat andaian sendiri tentang punca perpisahan kedua pelakon hebat ini. Wujudnya orang ketiga atau apa, itu semua spekulasi semata-mata.
Hanya Vanidah dan Rashidi saja yang tahu apa yang terjadi selama ini. Payah perit mempertahankan hubungan rumah tangga mereka, hanya mereka yang tahu.











